SHAH ALAM - Proses penggantian Ketua Pembangkang boleh dilaksanakan kemudian selepas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan siapa Ketua Pembangkang baharu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu boleh dilakukan selepas Dewan Rakyat tamat bersidang dan tiada kaitan dengan tempoh berapa hari lagi Dewan Rakyat perlu bersidang.
"Sama ada dua hari, empat hari ataupun 10 hari, ia tidak relevan. Penggantian Ketua Pembangkang boleh dilaksanakan kemudian selepas MT PN memutuskan siapa Ketua Pembangkang yang baharu.
"Tugas untuk menamakan Ketua Pembangkang yang baharu adalah tugas MT PN dan perlu diputuskan dalam Mesyuarat MT PN," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan pembangkang tidak berhasrat untuk mengemukakan sebarang pemakluman rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung jawatan Ketua Pembangkang ketika ini.
Justeru Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin masih kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Tun Faisal menambah, tugas untuk memperakui Ketua Pembangkang yang baharu adalah tugas dan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menurutnya, perakuan akan dibuat hanya selepas MT PN mengangkat nama tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan bukannya dalam baki masa dua hari Dewan Rakyat bersidang.
"Tugas ini lebih mudah lagi jika dasar dan keputusan berkaitan perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN, Ahad lepas," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, urusan pemakluman berkenaan status ahli-ahli Bersatu yang dipecat adalah mudah dan tidak rumit untuk difahami.
Katanya, perkara itu boleh dilaksanakan dengan cepat, iaitu dengan hanya menghantar sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan status keahlian enam Ahli Parlimen Bersatu dan PN telah dipecat yang boleh diselesaikan dalam masa tidak sampai sehari.
Beliau turut menjelaskan, perkara yang perlu difahami adalah tugas untuk memberikan pemakluman mengenai status terkini keahlian Ahli Parlimen yang dipecat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat itu adalah tugas PN.
Oleh demikian, kongsinya, tugas untuk membuat keputusan bila hendak dipindahkan kesemua Ahli Parlimen yang dipecat itu ke blok Bebas adalah tugas pentadbiran yang akan ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian.
"Tidak semestinya ia berlaku dalam tempoh dua hari ini, tetapi tidak wajar jika ia berlarutan sehingga berbulan-bulan," menurut Tun Faisal lagi.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment