BALIK PULAU - Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada Ahad lepas.
Pengakuan Fahmi, 35, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak direkodkan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Fahmi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas kira-kira 10 malam 22 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Nazran Mohd Sham menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun Peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Fahmi memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000.
Shamsher berkata, anak guamnya telah memberi kerjasama kepada polis dan kesalahan itu boleh dijamin.
Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli dan Lim Jin Hong.
Mahkamah membenarkan Fahmi diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pihak pembelaan memaklumkan telah memfailkan notis bantahan awal berhubung keesahan pertuduhan kerana menghujahkan kesalahan itu telah dikompaun oleh mangsa.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berpendirian kes itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang tidak boleh dikompaun.
Mahkamah kemudiannya menolak permohonan pembelaan supaya pertuduhan tidak dibacakan. - Bernama
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment