Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, laporan itu dibuat supaya SPRM mengkaji sama ada wujud konflik kepentingan dalam pembelian tanah Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3 Seberang Perai Selatan, di kawasan Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.
Beliau berkata, isu itu dibangkitkan secara rasmi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu pada 18 November 2025, jam 4.57 petang, sebelum dijawab Timbalan Ketua Menteri merangkap EXCO Hal Ehwal Agama pada 20 November 2025.
Menurutnya, antara perkara yang menjadi isu ialah tanah berkenaan dibeli daripada pemilik yang juga merupakan salah seorang ahli mesyuarat Majlis Agama Islam serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
“Di sinilah yang kita bimbang akan ada di mana adanya ‘conflict of interest’ (konflik kepentingan) walaupun dikhabarkan dalam mesyuarat, tuan punya tanah ini telah diminta keluar dan sebagainya, (dan) keputusan masa dibuat tu tuan punya tanah itu tidak ada,” ujarnya dalam sidang media dibuat di hadapan pejabat SPRM di sini baru-baru ini.
Iszuree berkata, perkara yang paling ketara adalah nilai tanah yang dibeli itu tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya apabila tanah berkenaan dibeli pada harga RM9.8 juta, sedangkan pulangan hasil dianggarkan hanya RM17,000 setahun.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran itu, jumlah pulangan hanya sekitar RM1.7 juta dalam tempoh 100 tahun dan masih tidak mencapai harga pembelian tanah berkenaan.
“Bayangkan harga tanah yang dibeli ini RM9.8 juta, hasil setahun baru RM17,000. Kalau 100 tahun pun RM1.702 juta, tak sampai pun harga pembelian tanah berkenaan,” tempelaknya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan penggunaan dana zakat untuk pembelian aset yang tidak mendatangkan hasil, selain memberi implikasi kepada asnaf yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana berkenaan.
Iszuree berkata, pihaknya bimbang wujud penyalahgunaan kuasa dalam urusan terbabit dan berharap SPRM menjalankan siasatan serta memberikan keputusan sewajarnya.
“Kita dah melaksanakan tanggungjawab kita untuk meminta SPRM siasat atas konflik yang berlaku ini sebab adanya ‘conflict of interest’.
“Yang kita harap keadilan kepada rakyat ini dapat ditegakkanlah atas penggunaan salah guna dana zakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment