KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu gopoh dalam melantik Ketua Pembangkang baharu susulan pemecatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan itu memerlukan masa memandangkan Pas tidak boleh membuat keputusan bersendirian.
Jelasnya, Pas perlu bermesyuarat bersama kepimpinan parti di dalam Perikatan Nasional (PN) selain mendengar pandangan ahli-ahli Parlimen pembangkang, sesuai dengan standing order membabitkan hak ahli-ahli parlimen berkenaan.
“(Lagipun) Parlimen tinggal dua hari sahaja lagi, tak perlu kita gopoh,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Menurut Takiyuddin, perkara berhubung jawatan Ketua Pembangkang baharu itu dipersetujui parti-parti komponen PN dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, pada 22 Februari lalu.
Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dalam sidang akhbar kelmarin berkata, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang setakat ini kekal, dengan tempat duduk Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti itu juga tidak berubah.
Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi penegasan yang mana keutamaan ketika ini adalah memperkasakan PN khususnya dalam usaha memastikan lebih ramai ahli Parlimen menyertai blok PN.
Katanya, ia termasuk daripada ahli Parlimen UMNO yang tidak bersetuju dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan serta ahli Parlimen PKR yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan semasa.
Dalam masa sama, ujarnya, tumpuan ahli-ahli Parlimen PN ketika ini juga adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara termasuk perjanjian timbal balik perdagangan (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dan banyak lagi.
“Jadi ahli-ahli Parlimen kita sibuk membincangkan masalah-masalah ini, kita berilah peluang untuk selesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.
“Sebab itu, kita tak perlu tergopoh-gapah dalam mahu melantik Ketua Pembangkang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment