NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan cakap soal kerjasama politik PH-BN kalau isu air pun dijadikan propaganda



JOHOR BAHRU – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor tidak wajar bercakap soal kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang jika terus mewujudkan persepsi mengelirukan terhadap kerajaan negeri.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, perbuatan itu dapat dilihat apabila Pemuda PH Johor membuat tuduhan berhubung isu gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan kawasan utara Pontian baru-baru ini.

Sedangkan, katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah pun membuat penjelasan mengenai punca gangguan bekalan air di Johor dalam menjawab dan memperbetulkan tuduhan yang dilemparkan Pemuda PH Johor itu.

“Penjelasan tersebut secara jelas telah membetulkan pelbagai tuduhan tidak berasas yang cuba dimainkan oleh Pemuda PH Johor yang dengan mudah menuding jari kononnya gangguan bekalan air berlaku kerana kerajaan negeri lebih mengutamakan pembangunan pusat data di kawasan Perindustrian Sedenak, Kulai.

“Tuduhan ini bukan sahaja tersasar daripada fakta, malah memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab dalam memahami isu sebenar sebelum membuat kenyataan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor yang pernah bertanggungjawab terhadap sektor bekalan air negeri, Adam menegaskan, sumber bekalan air bagi pusat-pusat data di Sedenak datang dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semangar di Kota Tinggi dengan mengambil air terus daripada aliran sungai yang berterusan.

Sebaliknya jelas beliau, kawasan mengalami gangguan bekalan air bergantung kepada LRA Empangan Machap yang bekalannya bergantung kepada paras air empangan.

Katanya, apabila musim kemarau berlaku, paras air akan menurun dan menjejaskan kapasiti bekalan.

Menurut beliau, keadaan itu adalah realiti lama yang telah diketahui sejak sekian lama, bukannya isu baharu yang tiba-tiba muncul kerana pembangunan pusat data.

Justeru katanya, cubaan mengaitkan gangguan bekalan air ini dengan pembangunan pusat data adalah naratif politik yang dangkal dan mengelirukan rakyat.

“Kepada Pemuda PH Johor, jika politik terus dimainkan dengan memutar fakta dan menyebarkan persepsi yang mengelirukan, jangan bercakap soal kerjasama. Rakyat Johor memerlukan penyelesaian dan fakta, bukan propaganda,” katanya.

Pasa 12 Februari lalu Pemuda PH Johor menyuarakan masalah bekalan air terutama di Simpang Renggam termasuk kawasan Menteri Besar Johor sendiri iaitu di Machap yang turut terjejas.

Pemuda PH Johor mempersoalkan sama ada gangguan bekalan air itu berpunca daripada projek pusat data yang menggunakan banyak kapasiti air sekali gus menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan terbuka dan telus.

Kemarin, Onn Hafiz dalam reaksinya memaklumkan, gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Johor bukan berpunca daripada projek pembangunan pusat data.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menjelaskan, gangguan bekalan air berpunca daripada kemarau berpanjangan dan penyusutan paras sumber air mentah.- MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo