NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berhenti serang kubu sendiri - Syahir Sulaiman



SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegur Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz supaya 'berpuasa' daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, tindakan Tun Faisal yang berterusan membuat serangan secara terbuka mengenai hal dalaman termasuk kedudukan Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat hanya merugikan gabungan berkenaan.

Jelas Mohd Syahir, wakil rakyat PN mempunyai tugas lebih besar di Parlimen yang memerlukan tumpuan serius memandangkan sidang Dewan Rakyat hanya berbaki empat hari lagi.

"Lebih baik Penerangan (Bersatu) tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan celupar), serang PH/Madani, bukan serang kawan sendiri.

"Berbalik kepada kedudukan di Parlimen, kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Pengerusi PN yang baharu pun belum sempat panaskan kerusi. Let the dust settle first (Biarkan keadaan reda dahulu).

"Selain itu, pandangan semua Ahli Parlimen di blok pembangkang juga perlu diambil kira, sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4A(3)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Tun Faisal pada Selasa dilaporkan menggesa agar Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok Bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Menurutnya, PN perlu mengambil serius kelewatan pemindahan itu kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen.

Sementara itu, Mohd Syahir dalam hantaran sama turut memaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghubungi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang.

Katanya, tindakan yang dibuat Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu perlu dijadikan contoh apabila ingin menyelesaikan sesuatu perkara berbangkit.

"Difahamkan Tuan Guru Haji Hadi menjawab bahawa beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri dan akan membawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat, insya-ALLAH.

"Sebagai timbal balik, kami juga tidak pernah membuat sebarang desakan supaya kedudukan kerusi Pengerusi PN yang baharu dan terdahulu ditukar tempat. Molek doh situ (Sudah baik di situ)," katanya.

Malah katanya, Pas juga terbuka untuk berbincang sekiranya Bersatu berhasrat untuk mengambil jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip.

Katanya, perkara itu boleh dibincangkan dengan mengambil kira pandangan Ahli Parlimen dan pendirian parti, bukan dengan membuat serangan secara terbuka.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo