KUALA LUMPUR – Isu ketiadaan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekali lagi dibangkitkan apabila seorang ahli Parlimen Pas mendakwa amalan itu mencerminkan ketidakadilan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen kerajaan mencecah RM3.7 juta setahun atau RM11.1 juta bagi tempoh tiga tahun sedangkan Ahli Parlimen pembangkang menerima sifar peruntukan sepanjang tempoh sama.
“Sewajarnya, peruntukan ‘mesra rakyat’ sebegini disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan Parlimen tanpa mengira perbezaan politik.
“Persoalan yang saya bangkitkan, kita dalam negara yang sama, bayar cukai yang sama, Perdana Menteri yang sama, Speaker yang sama; Mengapa layanan yang diberikan di kawasan kami, tidak sama? – Mengapa?” soalnya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Syahir, keadaan itu disifatkan sebagai ‘wewenang keadilan’ di bawah pentadbiran kerajaan sambil mempersoalkan mengapa pembangkang dilihat seolah-olah menjadi ancaman sehingga peruntukan disekat sepenuhnya.
Jelasnya, setiap juta peruntukan yang disalurkan adalah tertakluk kepada audit dan pemantauan serta perlu dibelanjakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
“Malah jika dihitung berdasarkan 69 ahli Parlimen pembangkang, sejumlah RM255.3 juta setahun atau RM765.9 juta sepanjang tiga tahun sepatutnya disalurkan, namun tidak diperturunkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tindakan itu boleh dianggap zalim terhadap ahli Parlimen yang dipilih rakyat, sedangkan kerajaan mampu menyalurkan peruntukan berkenaan tanpa mengira parti politik.
“Ke manakah jutaan ringgit ini dibelanjakan? Jika disekat, amatlah malang. Jika dialihkan, amatlah menzalimi,” katanya.
Mohd Syahir berkata, realitinya permintaan paling kerap disuarakan rakyat di kawasan Parlimen adalah projek-projek mesra rakyat seperti pembaikan jalan berlubang, jambatan rosak, rumah, masjid, sekolah daif, klinik usang serta kemudahan awam lain.
Selain itu, katanya, bantuan turut diperlukan untuk golongan miskin, warga emas, pesakit, anak yatim, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar sekolah, PIBG, persatuan belia dan persatuan penduduk.
“Sewajarnya, peruntukan ‘mesra rakyat’ sebegini disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan Parlimen, tanpa mengira perbezaan politik,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment