- ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berhubung cadangan untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka satu rangka kerja atau garis panduan berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor.
- “Dalam konteks ini, sebarang usaha untuk menormalisasikan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup yang melibatkan premis makanan tidak boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya perlu ditimbang dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan halal, serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam selaku kumpulan majoriti rakyat Selangor,” katanya dalam satu hantarandi Facebook.
KUALA LUMPUR – Cadangan untuk merangka satu “rangka kerja” baharu berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor disifatkan sebagai tiada keperluan dan tidak wajar, malah berpotensi bercanggah dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada serta prinsip asas Islam sebagai agama Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berhubung cadangan untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka satu rangka kerja atau garis panduan berkaitan konsep pet-friendly mall di Selangor.
Beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan dasar awam di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta nilai asas kenegaraan yang termaktub dalam Rukun Negara.
“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Peruntukan ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan asas perlembagaan yang mewajibkan semua dasar dan tindakan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, mengambil kira kepentingan agama Islam, hukum syarak, serta sensitiviti umat Islam.
“Dalam konteks ini, sebarang usaha untuk menormalisasikan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup yang melibatkan premis makanan tidak boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata, sebaliknya perlu ditimbang dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan halal, serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam selaku kumpulan majoriti rakyat Selangor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Nurul Syazwani turut mengingatkan bahawa Rukun Negara, khususnya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan, menuntut agar setiap dasar awam menghormati norma masyarakat, adat, agama dan sensitiviti awam dalam ruang bersama.
“Dalam masyarakat majmuk seperti Selangor, kesopanan dan kesusilaan bukan bermaksud menghapuskan batas, tetapi memastikan kebebasan sesuatu kelompok tidak menjejaskan hak, keselesaan dan kepercayaan kelompok lain terutamanya apabila melibatkan isu makanan, kebersihan dan agama,” tegasnya.
Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengesahkan larangan membawa haiwan ke premis makanan masih berkuat kuasa berdasarkan undang-undang bertulis.
“Larangan ini adalah berdasarkan Peraturan 8(1)(c), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSJ) 2007.
“Ia bukan garis panduan fleksibel yang boleh diketepikan melalui perbincangan dasar,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam maklum balas rasmi kepadanya menyatakan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup memberi implikasi serius terhadap pematuhan Standard Halal Malaysia MS 1500:2019 serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
Sementara itu, jelasnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula memaklumkan isu tersebut dipandang serius kerana melibatkan hukum syarak, kebersihan dan sensitiviti umat Islam, dan telah dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan pandangan hukum.
Sehubungan itu, Nurul Syazwani menegaskan bahawa kedudukan undang-undang berhubung kehadiran haiwan peliharaan di premis tertutup di Selangor khususnya yang melibatkan makanan dan ruang awam adalah jelas, muktamad dan berkuat kuasa.
“Prinsip Islam sebagai agama Persekutuan, nilai Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara, serta peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan standard halal tidak boleh diketepikan melalui cadangan dasar baharu atau naratif liberalisasi gaya hidup.
“Sehubungan itu, cadangan untuk merangka satu “rangka kerja” baharu berkaitan konsep pet-friendly mall adalah tiada keperluan dan tidak wajar, memandangkan ia bercanggah dengan kerangka perundangan sedia ada, berpotensi menimbulkan kekeliruan penguatkuasaan, serta boleh menjejaskan keyakinan umat Islam terhadap pematuhan syariah dan halal,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Selangor seharusnya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara konsisten dan tegas, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara demi menjaga kepentingan awam, keharmonian masyarakat majmuk serta kedaulatan undang-undang di negeri itu. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment