KLANG – DAP mengingatkan parti itu pernah berkorban dengan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, langkah tersebut membuktikan keikhlasan DAP dalam menjayakan kerjasama politik dalam kerangka Pakatan Harapan–Barisan Nasional sebelum ini.
“Kita telah berkorban dalam pilihan raya negeri lalu apabila menyerahkan kerusi Dusun Tua yang kita menang sebelum ini kepada UMNO,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen DAP Selangor 2025, hari ini.
Beliau berkata, pengorbanan itu dibuat demi kestabilan kerajaan dan kejayaan gabungan, namun terdapat pihak yang masih menafikan kewujudan kerjasama dengan DAP.
“Kadangkala keikhlasan kita tidak disambut. Ada pula yang kata tidak pernah bekerjasama dengan DAP. Ini kenyataan yang tidak masuk akal,” ujarnya.
Anthony menegaskan, DAP bersikap terbuka dan berterus terang kepada penyokong mengenai kerjasama dengan UMNO, termasuk berkempen bersama dalam pilihan raya.
“Kita tak tipu penyokong. Kita cakap terus terang, hari ini kita bekerjasama dengan UMNO dalam kerangka Pakatan Harapan–Barisan Nasional,” tegasnya.
Mengulas pembahagian kerusi pada masa depan, beliau berkata prinsip asas DAP ialah kerusi yang dimenangi penyandang tidak dilepaskan sekiranya wujud kerjasama politik.
“Kalau ada kerjasama politik, pembahagian kerusi mesti ikut prinsip penyandang. Kalau tak ada kerjasama, maka pertandingan terbuka,” katanya.
Anthony bagaimanapun menegaskan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi atau hala tuju besar parti tidak boleh dibuat secara individu.
“Keputusan besar mesti ditentukan melalui platform tertinggi parti, iaitu kongres atau konvensyen kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, DAP tidak pernah menyatakan akan menarik sokongan daripada perdana menteri atau keluar daripada kerajaan, sebaliknya hanya menilai peranan parti dalam kerajaan.
“Kita tak pernah kata keluar kerajaan. Kita tidak akan tarik sokongan atau biarkan kerajaan jatuh. Yang kita nilai ialah peranan kita dalam kerajaan,” katanya.
Anthony berkata tempoh enam bulan akan datang adalah penting bagi memastikan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dan sokongan rakyat dapat dikukuhkan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment