KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali mendakwa gagasan Rumah Bangsa diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukanlah usaha penyatuan Melayu sebaliknya satu strategi politik untuk menyelamatkan kedudukan peribadi serta menjadi tali hayat UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu mendakwa, UMNO hari ini tidak lagi berperanan sebagai parti perjuangan sebaliknya berubah menjadi alat melindungi kepentingan segelintir pemimpin yang berdepan pelbagai isu dan kes mahkamah.
Dakwanya, walaupun ada kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), ia tidak menjamin keselamatan politik pemimpin terbabit pada masa depan.
“Rakyat semakin celik politik dan dapat melihat pola yang berulang, apabila pemimpin yang terdesak mula melaungkan slogan perpaduan sedangkan suara rakyat diketepikan ketika mereka berada dalam kedudukan berkuasa,” dakwanya dalam kenyataan.
Ibrahim turut menegaskan, Ahmad Zahid tidak layak menjadi simbol penyatuan Melayu kerana rekod kepimpinan yang dipertikaikan.
Katanya, seorang pemimpin mesti dilihat bersih dan berintegriti untuk memimpin bukan individu yang rekodnya menjadi perbahasan nasional.
“Ikan kepala busuk mana boleh berenang laju, nakhoda tempang tidak mampu membawa bahtera menempuh gelombang,” kiasnya.
Tambah Ibrahim, usaha yang dipanggil Rumah Bangsa itu bukan penyatuan nasional tetapi lebih kepada operasi politik bagi memastikan kelangsungan Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden UMNO.
Katanya, terdapat perbezaan besar antara “Payung Besar Melayu” dengan “Rumah Melayu tajaan UMNO”, sambil menambah penyatuan tidak seharusnya dijadikan alat atau tunggangan politik mana-mana pihak.
Beliau juga mendakwa UMNO kini sedang mengalami keruntuhan dalaman apabila akar umbi semakin lemah akibat masalah kepimpinan dan budaya parti yang tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar nama Melayu tidak digunakan untuk menutup kelemahan peribadi pemimpin.
“Melayu tidak perlukan pidato kosong. Melayu perlukan pemimpin yang berani melawan rasuah, dilihat bersih dan tidak hipokrit,” katanya.
Ibrahim menegaskan, jika Ahmad Zahid benar-benar ikhlas, beliau perlu membersihkan UMNO terlebih dahulu dengan menghentikan budaya ugutan, politik kluster serta mengembalikan kuasa kepada ahli parti.
“Orang Melayu hari ini sudah tahu membezakan antara pemimpin jujur dengan pemimpin yang terdesak. Mereka tidak lagi boleh ditipu dengan simbol, baju-T atau topi semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment