NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi persoal ketepatan angka defisit fiskal negara



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan ketepatan angka defisit fiskal negara dengan alasan bahawa bayaran balik cukai yang tidak dibayar sejak 2020 telah memesongkan kedudukan kewangan sebenar negara.

Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, ia kerana amalan perakaunan tunai yang diguna pakai kerajaan menyebabkan hasil termasuk cukai terlebih kutip diisytiharkan sebagai pendapatan meskipun wang itu seharusnya dipulangkan semula kepada pembayar cukai.

"Sebenarnya kalau kita pulangkan balik dan bayar seperti yang sepatutnya, defisit (negara) kita tidak menurun. Defisit kita untuk tahun 2024 sebenarnya antara 5.8 ke 6 peratus berbanding dengan yang dibentangkan sebanyak 4.1 peratus.

“Ini sangat besar kesannya kerana persoalan utama kenapa tak bayar balik cukai ini. Adakah ini satu kelalaian? Lebih berbahaya (ia berkaitan) tatakelola kewangan negara,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Rafizi berkata, ekoran keadaan tersebut, hasil kerajaan kelihatan terlebih nyata iaitu misalnya hasil 2024 sebanyak RM322 bilion yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 termasuk RM33.3 bilion sebenarnya bukan milik kerajaan.

"Kegagalan melunaskan bayaran balik cukai bukan sahaja menjejaskan keadilan kepada pembayar cukai tetapi berisiko mencetuskan persepsi pengurangan defisit fiskal dicapai melalui penangguhan pembayaran wang rakyat.

"Jadi saya mahu Kementerian Kewangan membentangkan secara telus kedudukan sebenar defisit fiskal negara dengan mengambil kira tunggakan bayaran balik cukai termasuk pecahan penerima dan tempoh tunggakan,” ujarnya.

Rafizi menambah, ketelusan itu penting supaya naratif ekonomi negara kekal berintegriti dan selari dengan realiti sebenar yang dirasai rakyat.

Menurutnya, walaupun kerajaan menampilkan naratif kejayaan pengukuhan ekonomi dan penurunan defisit fiskal secara berperingkat, hakikatnya jumlah cukai terlebih kutip yang belum dipulangkan meningkat mendadak sejak 2020.

"Berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, komitmen bayaran balik cukai meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM21.8 bilion (2021), RM25.7 bilion (2022), RM25.5 bilion (2023) dan melonjak kepada RM33.3 bilion pada 2024.

"Mengapa Kementerian Kewangan sejak 2020 hingga kini termasuk di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dan Perikatan Nasional (PN) gagal memulangkan cukai terlebih kutip kepada rakyat dan syarikat sehingga tunggakan melonjak kepada RM33.3 bilion dalam tempoh empat tahun iaitu peningkatan sebanyak 128 peratus," dakwanya.

Beliau turut mempersoalkan pengumuman peruntukan RM4 bilion oleh kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah bagi melunaskan sebahagian bayaran balik cukai sedangkan jumlah sebenar tunggakan jauh lebih besar dan masih belum dijelaskan secara terperinci kepada Parlimen.

"Saya sebenarnya ternanti-nanti analisis lanjutan kerana pengumuman itu sebenarnya ada kesan yang besar pada persoalan tatakelola kewangan negara.

"Tetapi sehingga kini (analisis itu masih tiada). Sebab itu saya ambil peluang hari ini untuk bentangkan terus dan lontarkan persoalan itu kepada dewan untuk dijawab oleh Kementerian Kewangan pada masa penggulungan nanti," katanya.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo