![]() |
KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad memfailkan saman pemula terhadap kerajaan kerana mendakwanya atas pertuduhan menyertai perhimpunan berkaitan insiden pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.
Zaharudin, 50, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Disember lalu dengan menamakan kerajaan selaku defendan tunggal.
Berdasarkan dokumen, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu memohon perisytiharan bahawa pertuduhan yang dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan adalah bercanggah dengan Fasal 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Fasal itu memberi hak kebebasan kepada semua warganegara untuk berhimpun namun ia tertakluk kepada sekatan yang munasabah oleh undang-undang.
“Plaintif juga memohon deklarasi bahawa seksyen tersebut bercanggah dengan Fasal 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan kerana bersifat bertentangan dengan hak perbicaraan yang adil selain tidak seimbang dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Susulan percanggahan itu, seksyen berkenaan tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya.
Plaintif memfailkan saman berkenaan untuk melindungi dirinya daripada sebarang risiko kesan buruk yang ditimbulkan daripada tindakan atau keputusan defendan.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes saman itu pada 19 Januari ini.
Sementara itu, semasa sidang media, peguam, Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin berkata, seksyen terbabit sudah lapuk dan ketinggalan zaman.
“Kami terkejut apabila kerajaan menggunakan seksyen yang jarang digunakan ini terhadap aktivis-aktivis yang menyuarakan isu rakyat di Kampung Sungai Baru.
“Sedangkan rakyat diberi hak untuk berhimpun secara aman,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Zaharudin berkata, kehadirannya ke lokasi berkenaan tidak lebih daripada untuk membantu rakyat yang mahu mengosongkan rumah.
Menurutnya, penduduk terpaksa mengeluarkan perabot dan barangan elektronik dalam keadaan hujan lebat.
“Saya bukan mahu berhimpun secara terancang tetapi ‘terhimpun’ sebab ketika sampai di sana, ada sekatan dan kehadiran orang ramai.
“Mereka berkumpul disebabkan satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang telah tular kerana menawarkan bayaran kepada orang ramai untuk hadir ke majlis pembangunan di Kampung Sungai Baru.
“Siapa yang mendapat keuntungan daripada provokasi ini? Jelas sekali penduduk yang rugi,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, laporan polis berhubung penyebaran mesej berkenaan dibuat namun sehingga kini tiada maklum balas diterima daripada pihak berkuasa.
Terdahulu, ahli politik itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan pengosongan kampung berkenaan, September tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Zaharudin didakwa bersama tujuh individu termasuk dua remaja bawah umur menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Zaharudin yang juga aktivis dituduh menentang proses notis pengosongan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru sedangkan mengetahui perhimpunan tersebut diarahkan untuk bersurai mengikut undang-undang.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara jam 10.50 dan 11.14 pagi pada 11 September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment