Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Akmal menegaskan UMNO tidak perlu gentar menjadi pembangkang, malah menyifatkannya sebagai langkah strategik untuk kebangkitan semula parti.
Menurutnya, beberapa “garis merah” UMNO telah dilanggar, khususnya melibatkan DAP, sekali gus mencerminkan maruah dan prinsip UMNO tidak lagi dihormati dalam kerajaan sedia ada.
Akmal turut mendakwa desakan keluar kerajaan perpaduan datang daripada akar umbi UMNO, sambil menyuarakan keyakinan bahawa parti itu mampu merampas semula kuasa dalam tempoh dua tahun sekiranya memilih haluan pembangkang.
Dalam ucapannya juga, Akmal menekankan keperluan penyatuan politik Melayu, dengan mencadangkan UMNO dan PAS sebagai pelopor utama penyatuan tersebut. Menurutnya, perpecahan parti-parti Melayu hanya merugikan akar umbi.Beliau turut mencadangkan pembubaran Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), susulan krisis politik di Perlis. Cadangan itu mendapat reaksi positif daripada pimpinan PAS, namun dengan syarat UMNO keluar terlebih dahulu daripada gabungan bersama Pakatan Harapan (PH).
Isu hala tuju UMNO ini dijangka menjadi antara agenda penting menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada pertengahan Januari ini.

No comments
Post a Comment