Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, bersama isterinya telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara itu. Dakwaan tersebut dibuat menerusi satu hantaran di platform Truth Social.
Menurut Trump, operasi berkenaan merupakan serangan berskala besar yang menyasarkan kepimpinan tertinggi Venezuela. Setakat ini, kerajaan Venezuela dilaporkan mengisytiharkan darurat nasional susulan perkembangan tersebut.
Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Caracas, dengan rakaman video dan imej yang disiarkan media antarabangsa menunjukkan kepulan asap serta kehadiran helikopter tentera di ruang udara ibu negara Venezuela pada waktu malam.Amerika Syarikat sebelum ini menuduh pentadbiran Maduro mengendalikan sebuah “negara narkotik” dan memanipulasi pilihan raya, manakala Maduro pula berulang kali menegaskan bahawa Washington berniat menguasai rizab minyak Venezuela, yang terbesar di dunia.
Maduro mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2013 selepas kematian Presiden Hugo Chavez dan sejak itu berdepan tekanan antarabangsa berterusan, termasuk sekatan ekonomi dan diplomatik oleh Amerika Syarikat serta sekutunya.
Setakat laporan ini ditulis, tiada pengesahan rasmi daripada kerajaan Venezuela berhubung dakwaan penahanan Presiden Maduro seperti yang didakwa Trump.

No comments
Post a Comment