- “Apabila tokong Cina, perniagaan Cina dan sekolah Katolik menjadi teras utama senarai warisan di pusat bandar Kajang, ia mencetuskan persoalan apakah identiti yang sedang diangkat sebagai wajah rasmi bandar dan negara,” – Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique
- Beliau menjelaskan kecenderungan tersebut memberi kesan besar khususnya dalam mengaburkan peranan warisan Melayu-Islam sebagai paksi sejarah negara, selain melemahkan kefahaman generasi muda terhadap asas pembentukan negara dan identiti kebangsaan.
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique memberi amaran bahawa wujud peralihan naratif kebangsaan secara senyap melalui dasar perancangan bandar, yang menurutnya berpotensi mengaburkan kedudukan warisan Melayu-Islam sebagai teras sejarah negara serta menghakis kefahaman generasi muda mengenai asal-usul pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, isu yang sedang timbul ketika ini bukan sekadar berkaitan pemuliharaan warisan bandar, sebaliknya melibatkan hala tuju naratif identiti kebangsaan yang sedang dibentuk melalui pemilihan simbol, tapak dan elemen warisan dalam dasar pembandaran.
Asyraf berkata apabila tokong Cina, perniagaan Cina dan sekolah Katolik dijadikan teras utama dalam senarai warisan di pusat bandar seperti Kajang, ia menimbulkan persoalan mengenai identiti yang sedang diangkat sebagai wajah rasmi bandar dan, secara tidak langsung, negara.
“Masalahnya bukan pada bangunan itu sendiri, tetapi pada corak dan trend. Apabila pola pemilihan ini berulang di banyak lokasi, ia menandakan berlakunya peralihan naratif kebangsaan secara senyap melalui polisi pembandaran,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Beliau menjelaskan bahawa kecenderungan tersebut memberi kesan besar khususnya dalam mengaburkan peranan warisan Melayu-Islam sebagai paksi sejarah negara, selain melemahkan kefahaman generasi muda terhadap asas pembentukan negara dan identiti kebangsaan.
Menurut Asyraf, situasi ini secara tidak langsung bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, terutamanya berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Mengulas langkah penambahbaikan, Asyraf mencadangkan agar kerajaan menetapkan kerangka pemilihan warisan kebangsaan yang jelas dan berteraskan nilai serta fakta sejarah tempatan yang sahih.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana Rancangan Kawasan Khas (RKK) atau pelan pemuliharaan bandar, warisan Melayu-Islam perlu dijadikan paksi utama dan bukannya sekadar sisipan, walaupun identiti lain diiktiraf dalam kerangka sejarah negara.
“Dalam mana-mana RKK atau pelan pemuliharaan bandar, warisan Melayu-Islam mesti menjadi paksi, bukan sisipan.
“Meskipun, identiti lain diiktiraf dalam kerangka sejarah negara, ia tidak sepatutnya berdiri sebagai naratif dominan sendiri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya satu audit identiti kebangsaan diwujudkan bagi setiap projek perancangan bandar, bagi memastikan keputusan teknikal tidak membawa implikasi ideologi secara tidak sedar terhadap pembentukan identiti nasional.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment