NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dana Yayasan Akalbudi: AGC tidak teruskan pendakwaan terhadap Zahid



KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada tindakan lanjut  akan diambil berhubung kes berkenaan.


Menurut AGC, keputusan tersebut sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes itu selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” ujar kenyataan tersebut.

AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.


Kenyataan itu menjelaskan, berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.


Ia termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada jabatan itu selepas Timbalan Perdana Menteri dipanggil untuk membela diri.

Kenyataan itu memaklumkan, hasil penilaian dan pertimbangan pendakwaan, jabatan mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Keputusan itu diambil selepas setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut.

Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan perkara-perkara berikut:


i. Skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan;
PN.PRO.100-3/6/4 Jld.2 (95)

ii. Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan;

iii. Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes; dan

iv. Dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.

Pada 22 Disember lalu, AGC dalam satu kenyataan menegaskan, keputusan untuk memohon Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan itu pada 2023, dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Jabatan itu menjelaskan permohonan tersebut yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dilakukan berdasarkan keadaan semasa ketika itu serta mengambil kira keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memaklumkan AGC berhasrat memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo