KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, manakala PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag melibatkan pertandingan satu lawan satu.
Di kerusi Parlimen Kinabatangan, calon Barisan Nasional (BN), Naim Kurniawan Moktar akan berdepan cabaran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman yang mewakili Parti Warisan serta calon Bebas, Goldam Hamid.
Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, calon BN, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA akan menentang calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 23 Januari depan.
Menurut beliau, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.
“Seramai 39 orang pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi telah mengambil bahagian dalam PRK Kinabatangan dan PRK Lamag untuk menentukan ketelusan pilihan raya yang diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga bekas Pengerusi BN Sabah meninggal dunia 5 Disember lalu.
Pada PRN Sabah lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pula, Bung Moktar memegang kerusi itu selama enam penggal sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1999.
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu pada 24 Januari ini dengan pengundian awal pada 20 Januari. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment