NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akmal terus berteka-teki, keputusan muktamad diumum di PAU

KUALA LUMPUR, 10 Jan 2026 — Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, terus bermain teka-teki mengenai masa depannya dalam parti dan kerajaan apabila mengumumkan pendirian muktamadnya hanya akan diketahui minggu depan, di tengah spekulasi berterusan mengenai kemungkinan peletakan jawatan.

Walaupun sebelum ini dinafikan akan berundur, Akmal kini memberi bayangan jelas bahawa kedudukannya — termasuk sebagai Ketua Pemuda Umno dan Adun Merlimau — masih belum dimuktamadkan, dengan alasan kononnya demi “penyatuan agama dan bangsa”.

Dalam kenyataan hari ini, Akmal berkata suara yang dibawanya bukan bersifat peribadi, sebaliknya lahir daripada desakan akar umbi parti yang telah dizahirkan dalam Konvensyen Khas Pemuda Umno sebelum ini.

“Kita sudah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. Insya-Allah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung Umno minggu depan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian,” katanya.

Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka menegaskan dia tidak gentar menyuarakan apa yang dianggapnya “perkara betul”, sambil menolak dakwaan bahawa tindakannya didorong oleh kepentingan jawatan.

“Menjadi pemimpin bukan kerana memburu jawatan atau gelaran. Kedudukan saya dalam parti dan kerajaan akan saya umumkan di PAU. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita,” katanya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Akmal telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Adun Merlimau kepada sekumpulan pemimpin Pemuda Umno menerusi mesej WhatsApp ketika berada di Shanghai, China.

Namun, Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin, menafikan dakwaan tersebut, mendakwa Akmal tidak pernah mengemukakan peletakan jawatan secara rasmi.

Isu ini tercetus susulan tindakan Akmal mempengerusikan Konvensyen Khas Pemuda Umno yang meluluskan gesaan agar Umno bergabung dengan PAS dan meninggalkan kerajaan perpaduan — satu pendirian yang kemudiannya ditolak secara terbuka oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid menegaskan Umno akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, sekaligus menutup pintu kepada cadangan blok pembangkang yang digerakkan oleh sayap pemuda parti itu.

Susulan penolakan tersebut, Akmal memuat naik kenyataan bersifat sindiran mengenai “berundur”, mencetuskan cabaran terbuka daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang mendesaknya supaya benar-benar meletakkan jawatan jika berprinsip.

Setakat ini, Akmal masih belum menyatakan secara jelas sama ada dia akan kekal, berundur, atau mencetuskan krisis dalaman baharu dalam Umno — semuanya ditangguhkan ke pentas Perhimpunan Agung Umno minggu depan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo