NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dakwaan JAIS guna wang zakat untuk roboh kuil di tanah kubur Islam tidak benar



  • Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata penjelasan itu dibuat susulan satu hantaran di platform Threads oleh pengguna tamimdahri bertarikh 26 Januari 2026 yang mendakwa kononnya JAIS perlu menanggung kos perobohan berikutan penceroboh menerima pampasan tanah ganti.
  • “JAIS tidak menanggung apa-apa kos bagi perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh oleh mana-mana pihak. Semua kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan tanggungjawab kerajaan negeri dalam perkara berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan bahawa pihaknya tidak menanggung sebarang kos berkaitan perobohan dan pengosongan tanah perkuburan Islam di PJS 4 yang diceroboh, sebaliknya semua kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata penjelasan itu dibuat susulan satu hantaran di platform Threads oleh pengguna tamimdahri bertarikh 26 Januari 2026 yang mendakwa kononnya JAIS perlu menanggung kos perobohan berikutan penceroboh menerima pampasan tanah ganti.

Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan masyarakat, khususnya umat Islam di Selangor.

“JAIS tidak menanggung apa-apa kos bagi perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh oleh mana-mana pihak. Semua kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan tanggungjawab kerajaan negeri dalam perkara berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, JAIS turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa wang zakat dan wakaf digunakan bagi tujuan perobohan dan pengosongan tanah yang diceroboh.

Beliau menegaskan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan amanah mengurus dana umat Islam mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan hukum syarak, dan mempunyai pemahaman yang jelas mengenai bidang tanggungjawab antara MAIS dan Kerajaan Negeri.

“MAIS sentiasa menjaga dan mengurus dana umat Islam dengan penuh amanah serta memastikan wang zakat dan wakaf digunakan hanya untuk perkara yang memberi manfaat kepada umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar tidak berasa bimbang dengan dakwaan yang tular di media sosial, sambil menegaskan bahawa MAIS akan terus melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan peruntukan Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurutnya, dana dan wang umat Islam akan terus dipelihara dan digunakan bagi tujuan yang sah serta berfaedah kepada kesejahteraan umat Islam di negeri ini.

Pada November tahun lalu, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, dilaporkan berkata pencerobohan itu membabitkan pembinaan struktur tiga rumah ibadat bukan Islam.

Pencerobohan itu dilaporkan JAIS kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan PDT untuk tindakan penguatkuasaan.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

IRIS tegur dasar pembandaran semakin hakis identiti Melayu-Islam



  • “Apabila tokong Cina, perniagaan Cina dan sekolah Katolik menjadi teras utama senarai warisan di pusat bandar Kajang, ia mencetuskan persoalan apakah identiti yang sedang diangkat sebagai wajah rasmi bandar dan negara,” – Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique
  • Beliau menjelaskan kecenderungan tersebut memberi kesan besar khususnya dalam mengaburkan peranan warisan Melayu-Islam sebagai paksi sejarah negara, selain melemahkan kefahaman generasi muda terhadap asas pembentukan negara dan identiti kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique memberi amaran bahawa wujud peralihan naratif kebangsaan secara senyap melalui dasar perancangan bandar, yang menurutnya berpotensi mengaburkan kedudukan warisan Melayu-Islam sebagai teras sejarah negara serta menghakis kefahaman generasi muda mengenai asal-usul pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, isu yang sedang timbul ketika ini bukan sekadar berkaitan pemuliharaan warisan bandar, sebaliknya melibatkan hala tuju naratif identiti kebangsaan yang sedang dibentuk melalui pemilihan simbol, tapak dan elemen warisan dalam dasar pembandaran.

Asyraf berkata apabila tokong Cina, perniagaan Cina dan sekolah Katolik dijadikan teras utama dalam senarai warisan di pusat bandar seperti Kajang, ia menimbulkan persoalan mengenai identiti yang sedang diangkat sebagai wajah rasmi bandar dan, secara tidak langsung, negara.

“Masalahnya bukan pada bangunan itu sendiri, tetapi pada corak dan trend. Apabila pola pemilihan ini berulang di banyak lokasi, ia menandakan berlakunya peralihan naratif kebangsaan secara senyap melalui polisi pembandaran,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Beliau menjelaskan bahawa kecenderungan tersebut memberi kesan besar khususnya dalam mengaburkan peranan warisan Melayu-Islam sebagai paksi sejarah negara, selain melemahkan kefahaman generasi muda terhadap asas pembentukan negara dan identiti kebangsaan.

Menurut Asyraf, situasi ini secara tidak langsung bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, terutamanya berkaitan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Mengulas langkah penambahbaikan, Asyraf mencadangkan agar kerajaan menetapkan kerangka pemilihan warisan kebangsaan yang jelas dan berteraskan nilai serta fakta sejarah tempatan yang sahih.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa dalam mana-mana Rancangan Kawasan Khas (RKK) atau pelan pemuliharaan bandar, warisan Melayu-Islam perlu dijadikan paksi utama dan bukannya sekadar sisipan, walaupun identiti lain diiktiraf dalam kerangka sejarah negara.

“Dalam mana-mana RKK atau pelan pemuliharaan bandar, warisan Melayu-Islam mesti menjadi paksi, bukan sisipan.

“Meskipun, identiti lain diiktiraf dalam kerangka sejarah negara, ia tidak sepatutnya berdiri sebagai naratif dominan sendiri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya satu audit identiti kebangsaan diwujudkan bagi setiap projek perancangan bandar, bagi memastikan keputusan teknikal tidak membawa implikasi ideologi secara tidak sedar terhadap pembentukan identiti nasional.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pihak dedah ceroboh tanah tidak wajar dilayan seperti penjenayah – PPMM



  • Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata jika kenyataan mereka perlu direkodkan, proses perundangan yang betul tanpa sebarang intimidasi perlu dilakukan tanpa sebarang penahanan atau rampasan sehingga permohonan reman.
  • “Penahanan dan rampasan sebegini, jika berterusan dan berleluasa, akan memberikan impak negatif terhadap kepercayaan rakyat ke atas kedaulatan undang-undang di negara ini, serta integriti dan kebebasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
  • Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mahupun PDRM bahawa kuasa yang ada adalah amanah dan tidak wajar disalahguna bagi menekan, mengekang atau menakutkan rakyat daripada menyatakan kebenaran.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan pihak-pihak yang membongkar kejadian ceroboh tanah, membuat laporan, menegur atau mengkritik binaan sembahan haram yang tidak mengikut proses undang-undang, tidak sepatutnya dilayan sebagai penjenayah.

Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata jika kenyataan mereka perlu direkodkan, proses perundangan yang betul tanpa sebarang intimidasi perlu dilakukan tanpa sebarang penahanan atau rampasan sehingga permohonan reman.

“Penahanan dan rampasan sebegini, jika berterusan dan berleluasa, akan memberikan impak negatif terhadap kepercayaan rakyat ke atas kedaulatan undang-undang di negara ini, serta integriti dan kebebasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Ini adalah kerana kelihatan seolah-olah sengaja menggunakan taktik intimidasi dan menakutkan orang awam daripada membongkar kejadian pencerobohan tanah dan binaan sembahan haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, PPMM amat terkesan dan mengambil perhatian serius perkembangan terkini apabila dilaporkan beberapa aktivis yang mendedah dan mempersoal aktiviti pencerobohan tanah serta pembinaan sembahan haram, telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa melalui rampasan telefon bimbit, ditahan, kononnya bagi membantu siasatan.

“PPMM dimaklumkan bahawa pada semalam sahaja (27 Januari 2026), dua orang aktivis telah diambil tindakan. Tamim Dahri, aktivis Tanah Malaya telah disiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta telefonnya dirampas.

“Seorang lagi, Islah Wahyudi aktivis Randuk Malaysia dan Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) ditahan di lokap IPD Sepang semalaman, dan polis memohon reman ke atasnya di Mahkamah Sepang pada pagi ini,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, Puan Majistret Khairatul Animah Jelani, telah menolak permohonan reman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut, dan memerintahkan pihak PDRM melepaskan dan membebaskan Islah Wahyudi serta-merta.

Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mahupun PDRM bahawa kuasa yang ada adalah amanah dan tidak wajar disalahguna bagi menekan, mengekang atau menakutkan rakyat daripada menyatakan kebenaran.

“Adalah lebih mustahak agar kuasa yang ada sebaliknya digunakan bagi mengambil tindakan ke atas para penceroboh samada melalui tanah persendirian atau tanah milik kerajaan yang melanggar undang-undang tanpa sebarang bersikap memilih (selective).

“Dalam satu penghakiman mahkamah dalam kes Lee Loy & Ors v Poh Kam Sang & Anor [2018] 3 MLJ 240, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak boleh dan tidak sepatutnya melindungi atau membela penceroboh: “Third, the court should not protect squatters, as decided by the Federal Court in Sidek bin Haji Muhammad…..”,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menggesa hak dan perlindungan orang awam di dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati oleh penguatkuasaan tanpa tunduk kepada manamana tekanan daripada pihak-pihak luar. – The Merdeka Times




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PM diminta perjelas penipuan skandal Ponzi MBI secara menyeluruh – Zaid Ibrahim



  • Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan penjelasan yang lengkap dan menyeluruh berhubung skim Ponzi MBI, dan tidak sekadar bergantung kepada kenyataan penyitaan aset bernilai RM6.7 bilion.
  • Beliau menegaskan Perdana Menteri mesti menjelaskan kepada rakyat sepenuhnya skala sebenar penipuan tersebut dan sebab mengapa kekurangan kesungguhan pada peringkat awal siasatan menyebabkan tiada seorang pun didakwa di mahkamah.
  • Beliau juga menggesa agar identiti 23 tokoh korporat dan proksi terkenal Tedy Teow yang dilaporkan telah ditahan dan disoal siasat didedahkan kepada umum, memandangkan tiada seorang pun daripada mereka dikenakan pertuduhan setakat ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan penjelasan yang lengkap dan menyeluruh berhubung skim Ponzi MBI, dan tidak sekadar bergantung kepada kenyataan penyitaan aset bernilai RM6.7 bilion.

Beliau menegaskan Perdana Menteri mesti menjelaskan kepada rakyat sepenuhnya skala sebenar penipuan tersebut dan sebab mengapa kekurangan kesungguhan pada peringkat awal siasatan menyebabkan tiada seorang pun didakwa di mahkamah.

Mohd Zaid berkata, terdapat perbualan umum yang meluas menyatakan skim Ponzi MBI bermula di Pulau Pinang sebelum merebak dengan pantas ke China, selain dakwaan beberapa pemimpin politik dari negeri itu mempunyai hubungan rapat dan pernah dilihat secara terbuka bersama dalang penipuan berkenaan, Tedy Teow, seperti yang dilaporkan dalam akhbar China tempatan.

Beliau juga menggesa agar identiti 23 tokoh korporat dan Tedy Teow yang dilaporkan telah ditahan dan disoal siasat didedahkan kepada umum, memandangkan tiada seorang pun daripada mereka dikenakan pertuduhan setakat ini.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menepis tanggapan bahawa individu yang mempunyai hubungan kuat dan diterima secara politik di Malaysia boleh terlibat dalam pengubahan wang haram kerana kompromi atau perjanjian tertentu boleh dicapai.

“Siasatan yang perlahan oleh pihak berkuasa mengukuhkan lagi syak wasangka bahawa skim Ponzi bernilai berbilion ringgit ini mempunyai kaitan rapat dengan ahli politik yang berkuasa.

“Malah, hampir tiada siasatan dilakukan selama bertahun-tahun apabila skandal ini mula terbongkar pada tahun 2010,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, hanya selepas lawatan Presiden China, Xi Jinping, Operasi Northern Star dilancarkan pada tahun 2025, yang menyaksikan beberapa tokoh korporat terkenal serta individu bergelar Tan Sri ditahan dan disoal siasat, namun sehingga kini masih belum didakwa.

“Perkara yang paling pelik bukan sahaja skala antarabangsa penipuan ini, tetapi hakikat bahawa tiada seorang pun didakwa secara jenayah selepas 15 tahun siasatan,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan perbezaan ketara dalam kesegeraan pihak berkuasa membawa pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah terhadap beberapa jeneral Melayu serta tiga orang isteri mereka, sehingga Timbalan Pendakwa Raya terpaksa menyatakan bahawa “ia merupakan satu perjuangan yang sukar untuk kami”.

Mengulas lanjut, Zaid berkata ratusan juta dolar pelaburan dari China dalam kes MBI telah lesap, sehingga mendorong kerajaan China bertindak mengekstradisi Tedy Teow.

“Saya percaya ekstradisi ini perlu, sebahagiannya kerana kelewatan kita membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan,” jelasnya. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

TERKINIGuna istilah ‘rumah ibadat haram’: RSN Rayer mahu Ahli Parlimen Pasir Mas diambil tindakan



  • Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
  • Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
  • Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

“Saya berpandangan beliau telah melanggar peraturan kerana merujuk kepada rumah ibadat haram, ini jelas sekali akan mencetuskan pelbagai persepsi dan juga tanggapan.

“Pada masa sama, kalau sayalah dalam keadaan beliau, seorang Ahli Parlimen, cara saya membawa perkara ini kepada Dewan mungkin dalam fahaman saya, akan menggunakan rumah-rumah ibadat yang tidak memperolehi kelulusan daripada pihak kerajaan, itulah istilah yang akan saya gunakan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Rayer menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dengan jelas melarang penggunaan perkataan atau kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan bermusuhan antara kaum di Malaysia atau melanggar Perlembagaan serta Akta Hasutan.

Rayer juga membangkitkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berulang kali menasihatkan semua Ahli Parlimen agar berhati-hati dalam ucapan dan perbahasan supaya tidak mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Tuanku telah bertitah menasihatkan semua Ahli-Ahli Parlimen untuk berhati-hati ketika membuat ucapan dan perbahasan dalam Dewan Rakyat supaya tidak mencetuskan apa-apa ketegangan kaum ataupun salah faham di antara satu kaum dan kaum yang lain,” jelasnya.

Rayer turut mempersoalkan rumah ibadat yang dirujuk oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, termasuk sama ada ia merujuk kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang kini sedang diusahakan penyelesaiannya oleh kerajaan.

“Ketika kita sedang cuba menyelesaikan isu-isu melibatkan rumah-rumah ibadat, saya rasakan bahawa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen Pasir Mas ini adalah sesuatu ucapan yang sungguh tidak bertanggungjawab.

“Jadi saya mohon beliau menjelaskan mana satu rumah ibadat yang dirujuk beliau,” soalnya.

Selain itu, Rayer turut membandingkan pendekatan pemimpin PAS terdahulu, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurutnya sentiasa menyeru kepada toleransi dan persefahaman antara kaum dan agama.

Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.

“Ini telah menjadi satu bahan perbualan sindiran yang menjadi isu antara satu pihak dan pihak yang lain yang boleh mencetuskan pelbagai polemik dan juga ketegangan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Pokoknya adalah kita sebagai warga negara Malaysia perlu mematuhi titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) dan juga mematuhi Rukun Negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat memberi perhatian serius terhadap permohonannya dan mengambil tindakan tegas sewajarnya dalam kadar segera. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pembatalan ujian diagnostik bukti kerajaan kurang kajian awal – Fadhli Shaari



SHAH ALAM – Keputusan kerajaan membatalkan cadangan pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia enam tahun bagi kemasukan ke Tahun Satu disifatkan sebagai satu pusingan U yang mencerminkan kelemahan dalam kajian awal perangkaan dasar pendidikan negara.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pembatalan itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak melakukan penyelidikan mendalam sebelum mengumumkan polisi berkenaan kepada umum.

Beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik cadangan tersebut demi kepentingan rakyat, namun mengkritik proses perancangannya.

“Baguslah kerajaan U-turn pula untuk kebaikan rakyat. Tapi itulah, menampakkan kerajaan sebenarnya tidak buat kajian yang mendalam sebelum umumkan polisi,” ujarnya menerusi hantaran di laman media sosial itu pada Selasa.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan membatalkan rancangan pelaksanaan ujian diagnostik bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk menilai kelayakan mereka memasuki Tahun Satu.

Minggu lalu, Anwar melancarkan Pelan Pendidikan 2026–2035 yang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu sekiranya mereka percaya anak itu sudah bersedia.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa pelaksanaan yang dirancang bermula tahun depan akan dibuat secara berfasa melalui penilaian diagnostik, dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang bimbang ia boleh mewujudkan sistem pendidikan dua darjat dan memberi tekanan awal kepada kanak-kanak.

Menjelaskan keputusan pembatalan itu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan mengambil langkah tersebut selepas meneliti semula cadangan itu, termasuk mengambil kira kebimbangan bahawa ujian sedemikian berpotensi memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

Jelas beliau lagi, cadangan awal tersebut mempunyai niat yang baik kerana bertujuan memperkenalkan sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Namun, ia dirasakan boleh bersifat diskriminatif.

Menurut beliau, pendekatan itu juga boleh menyebabkan kanak-kanak dianggap tidak layak atau kurang cerdik sebelum memasuki Tahun Satu atau prasekolah, sekali gus menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.

“Oleh itu, ia kini dibatalkan. Ini adalah syor Menteri Pendidikan dan saya bersetuju,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Gerakan tegur KPM, dakwa kerajaan kerap buat ‘pusingan U’ dasar



SHAH ALAM – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tindakan kerajaan Madani yang didakwa kerap membuat perubahan atau ‘pusingan U’ terhadap pengumuman dasar penting, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, keadaan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan mengambil ringan terhadap dasar yang diumumkan apabila pengumuman dibuat terlebih dahulu sebelum ditarik balik.

Menurutnya, kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci serta menyediakan pelan pelaksanaan menyeluruh sebelum mengumumkan sesuatu dasar bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Gerakan menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju menarik balik ujian diagnostik khas kemasukan ke Tahun Satu bagi murid berusia enam tahun.

"Pembatalan ujian diagnostik itu mencerminkan tindakan kerajaan yang didakwa tergesa-gesa dalam menangani dasar pendidikan tanpa persediaan yang mencukupi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menjangkakan reaksi umum apabila sesuatu dasar diumumkan tanpa maklumat terperinci, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan.

Selain itu, ujarnya, keadaan berkenaan turut menimbulkan kekeliruan serta tekanan emosi kepada ibu bapa yang perlu membuat keputusan berkaitan pendidikan anak-anak mereka.

Sehubungan itu, Wendy menekankan keperluan kerajaan mengutamakan kajian data, rundingan dengan pakar serta mengadakan dialog terbuka dengan semua pihak sebelum mengumumkan sebarang dasar, khususnya yang melibatkan sektor pendidikan.

Tambahnya, dasar yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa asas kukuh hanya akan mengundang kritikan dan menonjolkan kelemahan dalam pelaksanaannya.


Sumber | Sinar Harian






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pendekatan 3K dicadang bagi kemasukan murid Tahun Satu usia enam tahun



SHAH ALAM - Pendekatan berasaskan kapasiti, kelahiran dan kelonggaran atau 3K dicadangkan dalam pelaksanaan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun, berbanding pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia lima tahun.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan data kelahiran tahun 2021, dianggarkan kira-kira 440,000 kanak-kanak akan mencapai usia enam tahun pada 2027 dan memerlukan lebih 12,500 bilik darjah sekiranya purata satu kelas menempatkan 35 murid.

"Penyediaan jumlah bilik darjah berkenaan, termasuk guru terlatih serta fasiliti sokongan lain, merupakan satu cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan dalam tempoh 11 bulan," menurut Radzi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Sehubungan itu, ujarnya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah menangguhkan sedikit pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bagi memberi ruang kepada penyediaan bilik darjah, guru serta fasiliti yang diperlukan.

Bagaimanapun jika KPM tetap meneruskan pelaksanaan pada 2027 beliau berkata, kemasukan murid berkemungkinan dilaksanakan secara berperingkat, selaras dengan kekangan kapasiti bilik darjah dan tenaga pengajar seperti yang digambarkan Menteri Pendidikan.

Mengulas perkara itu, Radzi mempersoalkan kaedah kemasukan berperingkat yang akan dilaksanakan dan mencadangkan pendekatan 3K sebagai asas pelaksanaannya.

Beliau menjelaskan, dari segi kapasiti, KPM perlu meneliti keupayaan sebenar yang boleh disediakan pada Januari 2027 bagi pengambilan tambahan murid Tahun Satu berusia enam tahun, termasuk ketersediaan kelas, guru dan fasiliti, selain membuat unjuran kapasiti bagi tahun-tahun berikutnya.

Dari segi kelahiran pula ujarnya, kemasukan berperingkat seharusnya ditentukan berdasarkan tarikh kelahiran kanak-kanak dan bukannya melalui saringan ujian diagnostik.

Sebagai contoh jelasnya, jika KPM hanya mampu mengambil tambahan 100,000 murid pada 2027, kelayakan kemasukan boleh ditetapkan berdasarkan bulan kelahiran tertentu.

“KPM boleh menetapkan murid yang mencapai usia enam tahun antara Januari hingga April 2027 diterima masuk ke Tahun 1. Pada tahun-tahun seterusnya, berdasarkan pertambahan kapasiti, julat kelayakan ini boleh diperluaskan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa diberikan kelonggaran untuk membuat pilihan sama ada mendaftarkan anak yang layak memulakan Tahun 1 pada usia enam tahun atau menangguhkannya ke usia tujuh tahun.

Menurut Radzi, pendekatan berkenaan lebih selari dengan proses pertumbuhan kanak-kanak kerana perbezaan perkembangan antara kanak-kanak yang lahir pada hujung tahun sebelumnya dan awal tahun berikutnya tidak begitu ketara.

Tambahnya, pendekatan itu juga memberi peluang kepada pembinaan budaya baharu permulaan persekolahan pada usia enam tahun dalam keadaan yang lebih harmoni dan tersusun.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

'Beruk-beruk ini selamat, pegawai jadi kambing hitam, kena sembelih' - Abdul Hadi



KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat undang-undang terpilih yang diamalkan kerajaan khususnya dalam isu rasuah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, ini kerana tindakan undang-undang terhadap jenayah rasuah hanya dikenakan kepada mereka yang menerima rasuah, selain dilaksanakan secara terpilih.

"Undang-undang terpilih, orang yang sokong kerajaan diselamatkan. Yang tidak sokong, jaga... kena (tindakan), menyebabkan payung kerajaan bocor, menjadi pelindung kepada perasuah.

"Nak selamat, sokong kerajaan. Kalau tidak sokong, tidak selamat," katanya ketika Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut meragui tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam sesetengah kes membabitkan pegawai yang menjadi 'kambing hitam'.

Menggunakan anologi beruk dan kera yang berebut sebiji pisang, Abdul Hadi membangkitkan mengenai projek dan perolehan kerajaan yang gagal kerana kewujudan orang tengah mengaut keuntungan.

"Apa yang berlaku, tindakan (hanya) kepada yang terima rasuah, yang sogok dan orang tengah tidak diberi (tindakan), kononnya nak dapat pertolongan, nak jadi saksi dan sebagainya.

"Beruk-beruk ini selamat, pegawai jadi kambing hitam, kena sembelih. Sebab itu, saya meragui orang yang dedahkan nama-nama pegawai ini, bukan tentera sahaja, semua jawatan yang didedahkan ini.

"Mungkin ada beruk-beruk besar (di sebaliknya). Pegawai ini dipaksa takut kepada beruk, terpaksa kena buat (perbuatan rasuah), maka berlakulah tindakan begitu rupa," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bapa empat anak curi susu tepung merayu kurangkan denda



MELAKA - Seorang pengawal keselamatan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri susu tepung serta beberapa barangan lain dari sebuah pusat beli-belah minggu lepas.

Tertuduh, Mohamad Ghazali Maidin, 46, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua pek susu tepung, dua botol syampu dan sebotol pencuci pakaian bernilai keseluruhan RM131.50 milik sebuah pasar raya. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat beli-belah tersebut sekitar jam 10.30 pagi pada 21 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dia mengambil barang di bahagian pasar raya menggunakan troli sebelum menolaknya keluar melalui pintu tingkat satu.

Tertuduh kemudian membawa pulang barangan dengan motosikal tanpa membuat bayaran.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon hukuman minimum dengan alasan tertuduh mempunyai empat anak dan mencuri kerana terdesak akibat kesempitan hidup.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo