- Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
- Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
- Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
“Saya berpandangan beliau telah melanggar peraturan kerana merujuk kepada rumah ibadat haram, ini jelas sekali akan mencetuskan pelbagai persepsi dan juga tanggapan.
“Pada masa sama, kalau sayalah dalam keadaan beliau, seorang Ahli Parlimen, cara saya membawa perkara ini kepada Dewan mungkin dalam fahaman saya, akan menggunakan rumah-rumah ibadat yang tidak memperolehi kelulusan daripada pihak kerajaan, itulah istilah yang akan saya gunakan,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Rayer menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dengan jelas melarang penggunaan perkataan atau kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan bermusuhan antara kaum di Malaysia atau melanggar Perlembagaan serta Akta Hasutan.
Rayer juga membangkitkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berulang kali menasihatkan semua Ahli Parlimen agar berhati-hati dalam ucapan dan perbahasan supaya tidak mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Tuanku telah bertitah menasihatkan semua Ahli-Ahli Parlimen untuk berhati-hati ketika membuat ucapan dan perbahasan dalam Dewan Rakyat supaya tidak mencetuskan apa-apa ketegangan kaum ataupun salah faham di antara satu kaum dan kaum yang lain,” jelasnya.
Rayer turut mempersoalkan rumah ibadat yang dirujuk oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, termasuk sama ada ia merujuk kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang kini sedang diusahakan penyelesaiannya oleh kerajaan.
“Ketika kita sedang cuba menyelesaikan isu-isu melibatkan rumah-rumah ibadat, saya rasakan bahawa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen Pasir Mas ini adalah sesuatu ucapan yang sungguh tidak bertanggungjawab.
“Jadi saya mohon beliau menjelaskan mana satu rumah ibadat yang dirujuk beliau,” soalnya.
Selain itu, Rayer turut membandingkan pendekatan pemimpin PAS terdahulu, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurutnya sentiasa menyeru kepada toleransi dan persefahaman antara kaum dan agama.
Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.
“Ini telah menjadi satu bahan perbualan sindiran yang menjadi isu antara satu pihak dan pihak yang lain yang boleh mencetuskan pelbagai polemik dan juga ketegangan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Pokoknya adalah kita sebagai warga negara Malaysia perlu mematuhi titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) dan juga mematuhi Rukun Negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat memberi perhatian serius terhadap permohonannya dan mengambil tindakan tegas sewajarnya dalam kadar segera. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment