NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rombakan Kabinet undang reaksi rakyat, kedudukan DAP jadi tumpuan – Shahir



KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat khususnya berkaitan pengukuhan kedudukan DAP dalam struktur kerajaan.

Selain itu, beberapa pelantikan yang dianggap menimbulkan persoalan dari sudut persepsi dan kepentingan awam.

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, pelantikan ahli-ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri sememangnya berada di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan rombakan Kabinet merupakan amalan biasa dalam mana-mana pentadbiran.

Namun, katanya, sebagai rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi serta pembayar cukai, kegusaran dan pandangan awam wajar diketengahkan agar suara rakyat terus diberi perhatian sewajarnya.

“Antara perkara yang menjadi tumpuan utama ialah kedudukan DAP yang dilihat semakin mengukuh dalam kerajaan apabila empat wakil parti itu berada dalam Jemaah Menteri dengan tiga daripadanya diberikan tanggungjawab dalam kementerian atau portfolio berperuntukan besar, selain memegang jawatan penting dalam hierarki parti,” katanya dalam kenyataan.

Dengan memberikan contoh, Shahir mendakwa, Hannah Yeoh, misalnya dilantik sebagai Menteri Wilayah menggantikan portfolio beliau sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, walaupun peruntukan Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berjumlah RM294 juta lebih kecil berbanding RM1.18 bilion di Kementerian Belia dan Sukan, kementerian tersebut turut mempunyai bidang kuasa ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan peruntukan mencecah RM2.84 bilion bagi tahun 2025.

Pelantikan itu, kata beliau, turut menimbulkan kebimbangan berkaitan agenda DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang dibimbangi berpotensi memperluaskan jurang antara kaum sekiranya tidak ditangani dengan penuh kepekaan, kebijaksanaan dan pertimbangan realiti masyarakat majmuk negara ini.

Sementara itu, Shahir berkata, Liew Chin Tong dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang mengurus peruntukan besar berjumlah RM47 bilion, peningkatan ketara berbanding jawatan terdahulu beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan peruntukan sekitar RM1.89 bilion.

Bagi Chan Foong Hin pula, katanya, beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebuah kementerian dengan peruntukan RM6.87 bilion berbanding portfolio lamanya di Kementerian Perladangan dan Komoditi yang mempunyai peruntukan sekitar RM810 juta.

“Selain itu, beberapa pelantikan lain turut mengundang kekecewaan dalam kalangan rakyat. Pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, masih dibayangi persepsi negatif terhadap pendirian beliau dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilihat kurang konsisten dan tegas dalam memperjuangkan kebajikan pelajar.

“Pelantikan Dr Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan turut mencetuskan dakwaan wujudnya amalan politik berasaskan pertalian keluarga memandangkan beliau merupakan anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan prinsip meritokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

“Pada masa sama, pelantikan Marhamah Rosli yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu turut menimbulkan kebimbangan sama ada semua isu berkenaan telah diselesaikan sepenuhnya bagi mengelakkan kerajaan terheret dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, satu-satunya perkembangan yang dilihat positif oleh sebahagian pemerhati politik ialah pertukaran Datuk Seri Johari Ghani ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), mengambil kira ketegasan serta kelantangan beliau sebelum ini dalam membangkitkan isu kepentingan negara.

“Rakyat berharap Datuk Johari Ghani sebagai Menteri MITI yang baharu akan mengamalkan ketelusan dan keterbukaan dalam setiap rundingan antarabangsa, khususnya melibatkan perjanjian dengan kuasa besar demi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo