KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy berpandangan prestasi kebanyakan menteri Kabinet khususnya menteri-menteri daripada DAP sepanjang tiga tahun lalu adalah mengecewakan.
Menurut Pengerusi Urimai, pemimpin DAP yang dahulunya lantang memperjuangkan reformasi ketika menjadi pembangkang kini senyap seribu bahasa sebaik sahaja memegang jawatan menteri.
Dakwanya, disebabkan kegagalan kepimpinan DAP menyampaikan reformasi, parti itu telah menerima penolakan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
“Satu analisis terkini terhadap pilihan raya tersebut menunjukkan bahawa isu nasional, lebih daripada isu tempatan telah menentukan keputusan di Sabah.
“Pada hakikatnya, DAP ditunjukkan jalan keluar kerana kegagalannya membawa pembaharuan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sehubungan itu, tambah Ramasamy, rombakan Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu meningkatkan jangkaan dalam kalangan menteri yang baharu dilantik serta mereka yang diberikan portfolio berbeza.
Ujarnya, pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan misalnya menimbulkan harapan beliau mampu mengurangkan kesesakan trafik di Kuala Lumpur, mewujudkan ruang untuk penghijauan bandar dan menangani isu-isu mendesak lain di bandar raya tersebut.
Menurut beliau, rombakan Kabinet itu tidak ubah seperti permainan `kerusi muzik’ yang mana jawatan mungkin berubah tetapi kesannya terhadap pentadbiran dan tadbir urus berkemungkinan kekal sama.
Tegasnya, adalah naif untuk meletakkan harapan tinggi menteri yang baru dilantik atau yang dipindahkan ke portfolio lain akan tiba-tiba berfungsi dengan lebih berkesan.
Malah menurut beliau, pertukaran jawatan juga tidak akan memberikan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) semangat baharu daripada segi kuasa atau komitmen politik.
“Memandangkan tentangan politik Melayu terhadap pelantikan Yeoh, saya sangat meragui keupayaannya untuk melaksanakan peranannya dengan berkesan.
“Pihak pembangkang telah pun menyekat langkahnya sejak awal. Selain itu, semasa tempohnya sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau kelihatan tidak peka terhadap skandal bola sepak FAM yang telah mencemarkan reputasi negara.
“Sama ada Yeoh, Steven Sim atau Anthony Loke, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada mereka dari segi prestasi,” katanya.
Tambah beliau, DAP mungkin mempunyai 40 Ahli Parlimen, lima menteri dan menjadi parti dengan jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Namun, katanya, dalam pelaksanaan kuasa, ia kekal sebagai parti yang lemah dalam sebuah gabungan Melayu yang hegemonik.
Malah, dakwa beliau, DAP langsung tidak setanding dengan UMNO yang mempunyai pengaruh jauh lebih besar walaupun memiliki kerusi Parlimen yang lebih sedikit.
“Ini bukan soal individu menteri DAP, tetapi mengenai bagaimana parti itu secara keseluruhan telah direndahkan menjadi pemain bawahan dalam gabungan pemerintah.
“Pemimpin DAP mungkin bersikap `panas dan sejuk’ mengenai ketiadaan reformasi, namun ini kelihatan tidak lebih daripada usaha untuk mengelakkan satu lagi prestasi buruk di Semananjung,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment