BN boleh kembali menjual jenama “stabiliti dan pengalaman” tanpa beban kegagalan kerajaan perpaduan. Gambar kecil: Mohd Afifi
KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini membawa implikasi besar kepada kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Hasil undian di Sabah menghantar isyarat jelas bahawa kesabaran rakyat terhadap kerajaan Perpaduan semakin menipis sementara parti-parti yang masih bersamanya, termasuk BN, berada di zon bahaya jika terus mengekalkan status quo.
PH menang satu, DAP bungkus sepenuhnya
PH hanya berjaya memenangi satu kerusi daripada 20 kerusi yang ditandinginya di Sabah, jauh merudum daripada jumlah kerusi yang dipegang sebelum ini.
Kerusi tunggal itu pula datang daripada PKR, itu pun daripada calon yang didatangkan daripada Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan sebelumnya UMNO, sedangkan DAP, gagal mempertahankan walau satu kerusi pun dan semua calonnya tewas, begitu juga dengan AMANAH.
Keadaan ini menunjukkan PH hampir lenyap daripada peta politik Sabah manakala DAP sebagai parti yang selama ini bergantung kepada undi bandar dan pengundi Cina telah ditolak hampir sepenuhnya oleh pengundi.
Penganalisis politik seperti Bridget Welsh menegaskan bahawa prestasi DAP di Sabah boleh dirumuskan sebagai “DAP bungkus”.
Beliau menganggarkan berlaku sekitar 40 peratus ayunan undi keluar daripada DAP di kawasan bandar yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi.
Hakikat bahawa PH hanya memperoleh satu kerusi manakala DAP hilang semua kerusi yang pernah dimenangi menggambarkan penolakan terbuka terhadap DAP, PH dan imej PMX sebagai wajah utama kerajaan Perpaduan.
Laporan-laporan media antarabangsa hampir sebulat suara menggambarkan keputusan PRN Sabah sebagai satu tamparan besar kepada PMX.
The Diplomat menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu 'setback' kepada PMX.
Sinar Harian
Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!
Reuters (yang dipetik oleh pelbagai media termasuk Bangkok Post, Jakarta Post, AsiaOne dan The Straits Times) menyatakan bahawa sekutu Anwar telah telah “dihenyak” atau “trounced” dalam PRN ini dan menggelarnya sebagai ujian pilihan raya pertama yang suram bagi PMX selepas beberapa tahun di Putrajaya.
South China Morning Post pula menekankan bahawa PRN Sabah telah menjadikan landskap politik Anwar jauh lebih kompleks.
Para penganalisis yang dipetik oleh akhbar itu menyatakan bahawa pengundi Sabah tidak lagi mempercayai Anwar.
Para penganalisis dipetik sebagai berkata, PMX berdepan tugas yang sangat sukar untuk meyakinkan pengundi agar mengembalikan beliau ke tampuk kuasa dalam PRU16.
Prof James Chin, Pengarah the Asia Institute Tasmania di University of Tasmania menegaskan bahawa pengundi Sabah sudah tidak percaya kepada Anwar.
Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri, Ketua Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyatakan rakyat mahukan perubahan dan manfaat yang benar-benar dapat dirasai.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah PRN Sabah telah menggoncang kredibiliti PMX sebagai pemimpin nasional dan memperlihatkan bahawa naratif “stabiliti” semata-mata tidak lagi mencukupi untuk meyakinkan rakyat.
Mesej keras pengundi Cina kepada PMX, DAP dan PH
Dimensi paling sensitif bagi PH dalam PRN Sabah ialah perubahan sikap pengundi Cina terhadap DAP dan kerajaan perpaduan.
Kawasan-kawasan bandar yang selama ini menjadi kubu kuat DAP menyaksikan ayunan undi yang besar meninggalkan parti itu selain turut menyaksikan penurunan keluar mengundi.
Charles Santiago, bekas Ahli Parlimen DAP, menulis bahawa kekalahan DAP di Sabah merupakan satu “full-blown backlash” daripada penyokong tradisi parti itu, khususnya pengundi Cina.
Beliau menegaskan bahawa apabila kelompok pengundi yang paling setia sekali pun berpaling tadah, itu bukan lagi sekadar amaran, tetapi satu hukuman politik yang jelas terhadap DAP dan rakan-rakan gabungannya.
Menurutnya, rasa tidak puas hati yang sama juga sedang membuak di Semenanjung dan bukan hanya terhad di Sabah.
Kesan undi Cina ini kepada DAP dan PH amat besar. DAP dilihat semakin kehilangan identitinya sebagai parti yang berprinsip dan semakin dilihat sebagai sekadar parti pemerintah biasa yang terlalu kompromi dengan rakan-rakan koalisi.
Naratif “MCA-isation of DAP” yang dibangkitkan oleh Bridget Welsh menggambarkan persepsi pengundi bahawa DAP tidak lagi lantang dalam isu-isu penting.
Dalam PRN ini juga, PH memilih untuk memusatkan kempen di sekitar imej PMX dengan slogan seperti “PMX Sayang Sabah”.
Strategi ini akhirnya memakan diri apabila kemarahan pengundi terhadap kegagalan kerajaan diterjemah terus kepada penolakan terhadap PMX dan PH.
Apabila semua calon DAP tewas dan PH hanya menang satu kerusi, mesej utama daripada pengundi Cina dan bandar ialah mereka tidak lagi yakin bahawa DAP, PH dan PMX mampu membawa perubahan yang dijanjikan.
Jika trend ini menjalar ke Semenanjung, PRU16 boleh menyaksikan keruntuhan sokongan Cina terhadap PH di negeri-negeri utama seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Wilayah Persekutuan, yang selama ini menjadi tiang seri kekuatan PH.
Kedudukan PMX melemah selepas PRN Sabah?
Sesudah PRN Sabah, naratif yang muncul daripada analisis antarabangsa dan tempatan ialah rakyat mahukan lebih daripada sekadar stabiliti.
Mereka tidak lagi puas dengan retorik kestabilan tanpa perubahan konkrit yang dirasai dalam kehidupan seharian. Keadaan ini menjejaskan kedudukan PMX yang selama ini menjadikan “stabiliti” sebagai tonggak utama justifikasi kerajaan perpaduan.
Kelemahan utama yang kelihatan ialah kegagalan meyakinkan Sabah bahawa kerajaan Persekutuan benar-benar serius dalam melaksanakan tuntutan MA63 dan isu pulangan hasil 40 peratus.
Di samping itu, agenda reformasi yang dijanjikan sebelum ini dilihat bergerak terlalu perlahan. Pelbagai janji reform undang-undang, institusi dan ekonomi masih belum menunjukkan hasil besar yang boleh dirasai oleh rakyat.
PRN Sabah juga melemahkan aura kepimpinan PMX. Apabila kempen dipersonalkan di sekitar beliau namun akhirnya PH hanya memenangi satu kerusi, ia menimbulkan persepsi bahawa PMX tidak lagi mempunyai daya tarikan yang kuat di peringkat akar umbi.
Amaran keras Zaid Ibrahim kepada Presiden UMNO
Surat terbuka Datuk Zaid Ibrahim kepada Presiden UMNO selepas PRN Sabah mengaitkan keputusan ini secara langsung dengan masa depan BN dan UMNO.
Beliau menulis bukan sekadar sebagai pandangan peribadi, tetapi dengan merujuk kepada Perlembagaan UMNO dan corak sokongan rakyat mutakhir.
Zaid menegaskan bahawa keputusan PRN Sabah menunjukkan komuniti Cina dan bukan Melayu kini menzahirkan penolakan hampir menyeluruh terhadap kepimpinan PMX.
Hal ini jelas apabila semua calon DAP tewas dan PKR hanya memenangi satu kerusi, itu pun melalui calon “import” daripada GRS.
Bagi Zaid, perkembangan ini memberikan isyarat jelas bahawa sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PMX merosot dengan ketara dan beliau memberi amaran bahawa UMNO akan senasib dengan DAP jika terus mendokong kerajaan perpaduan.
Beliau mengingatkan bahawa corak keputusan pilihan raya kebelakangan ini sangat membimbangkan. UMNO telah kalah semua kerusi di Kedah dan Terengganu pada PRN 2023, hanya menang satu kerusi di Kelantan dan dua kerusi di Selangor, dan di Sabah kini tinggal lima kerusi sahaja (satu lagi kerusi BN dimenangi PBRS).
Semua ini menunjukkan bahawa UMNO bukan sahaja kehilangan sokongan Melayu, malah turut terheret jatuh bersama kejatuhan populariti PH.
Dengan kata lain, UMNO dan BN kini terpalit dengan kemarahan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
Zaid turut berhujah bahawa beberapa dasar dan pendekatan kerajaan, khususnya dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat dan pengurusan kepentingan Bumiputera, bercanggah dengan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menekankan kedaulatan negara serta pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Di samping itu, beliau membangkitkan kebimbangan mengenai persepsi campur tangan dalam institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan, termasuk isu-isu berkaitan pelantikan dalam badan kehakiman dan tindakan SPRM terhadap musuh politik kerajaan.
Semua ini menambahkan lagi beban imej yang perlu dipikul oleh UMNO jika ia terus kekal dalam kerajaan perpaduan.
Kesimpulan Zaid sangat jelas dan keras: beliau menyifatkan PMX sebagai liabiliti politik kepada UMNO, BN dan negara, dan menegaskan bahawa meletakkan masa depan parti kepada seorang Perdana Menteri yang menurutnya telah hilang sokongan rakyat hanyalah langkah yang merugikan UMNO.
Kekal dengan PH atau ubah haluan?
Berdasarkan data PRN Sabah, analisis pengulas politik dan amaran yang terkandung dalam surat Zaid, BN kini berada di persimpangan kritikal.
Jika BN memilih untuk kekal dalam kerajaan perpaduan, BN secara sedar menerima risiko untuk terus terpalit dengan kejatuhan populariti PMX dan PH.
Dalam keadaan ini, setiap PRN yang akan datang – termasuk di Melaka, Johor dan Sarawak – berpotensi mengukuhkan naratif bahawa BN hanyalah komponen yang menumpang sebuah kerajaan yang ditolak rakyat.
Jika BN kekal bersama PH, ia akan semakin sukar untuk parti itu membina semula imej sebagai pembela kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Ketika dasar-dasar kerajaan yang dipimpin PMX dilihat tidak konsisten dengan aspirasi ini, ketiadaan pendirian tegas daripada UMNO akan menguatkan persepsi bahawa parti itu sudah hilang jiwa.
Sekiranya keadaan ini berlarutan sehingga PRU16, BN berisiko muncul hanya sebagai blok kecil yang tidak lagi relevan, sekadar bergantung nyawa kepada belas ihsan pihak lain.
Pilihan kedua ialah BN keluar daripada kerajaan perpaduan dan bertanding sendiri. Langkah ini akan membuka ruang kepada BN untuk membina semula identiti sebagai kuasa politik sederhana yang tidak terlalu condong kepada mana-mana blok.
BN boleh kembali menjual jenama “stabiliti dan pengalaman” tanpa beban kegagalan kerajaan perpaduan.
Namun, pilihan ini juga membawa risiko, antaranya fragmentasi undi Melayu sekiranya wujud pertandingan tiga penjuru secara meluas antara BN, PN dan PH, serta persoalan sama ada jentera BN di semua negeri benar-benar sudah pulih untuk berdiri sendiri.
Pilihan ketiga – dan dari segi realpolitik dilihat lebih menguntungkan – ialah BN membentuk pakatan atau gabungan dengan PN. Penyatuan undi Melayu-Bumiputera melalui gabungan BN–PN berpotensi menghasilkan blok dominan dalam banyak kerusi majoriti Melayu, asalkan pembahagian kerusi dapat dirunding secara adil.
Dengan meninggalkan kerajaan perpaduan melalui naratif bahawa BN berundur demi mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan negara dan kedudukan Bumiputera, parti itu boleh memposisikan dirinya bukan sebagai pengkhianat, tetapi sebagai pihak yang kembali kepada asas perjuangan asal.
Jika blok baharu ini berjaya menunjukkan rekod pentadbiran yang baik di negeri-negeri yang dikuasai, sebahagian pengundi bukan Melayu juga mungkin memilih mereka demi kestabilan dan kecekapan, khususnya apabila mereka sudah pun menghukum DAP dan PH di Sabah.
MCA perlu bergerak segera ikut jejak MIC
Keputusan PRN Sabah turut mengubah landskap politik bagi parti-parti komponen BN. MIC sebelum ini telah mengambil keputusan berani untuk meninggalkan BN demi masa depan parti.
MCA juga tidak boleh terus terperangkap dalam dilema kesetiaan tradisi sedangkan realiti politik berubah dengan cepat. Jika MCA terus kekal bersama BN yang semakin tidak relevan, parti itu akan kehilangan masyarakat Cina sepenuhnya dalam PRU16.
Dengan DAP kini semakin hilang sokongan pengundi Cina, MCA perlu mempertimbangkan untuk keluar BN dan memilih haluan baharu.
MCA berisiko tenggelam jika terus bersama BN yang semakin lemah dan terpalit dengan kejatuhan kerajaan perpaduan. Penyertaan MCA ke dalam PN boleh membuka ruang kepada parti itu untuk memposisikan dirinya sebagai wakil masyarakat Cina dalam blok pembangkang yang lebih besar dan berdaya saing.
MCA berpeluang mengisi kekosongan naratif yang ditinggalkan oleh DAP, termasuk memperjuangkan isu ekonomi, SME, kos sara hidup dan kesejahteraan bandar dengan pendekatan lebih pragmatik dan bebas daripada pertimbangan ideologi PH.
MCA perlu menilai bahawa PN kini sedang membuka ruang kepada parti-parti bukan Melayu dalam rangka pembentukan blok alternatif.
Dengan DAP semakin hilang kepercayaan pengundi Cina, MCA boleh muncul semula sebagai suara signifikan dalam politik negara dengan menyertai PN, seterusnya menjadi jambatan antara komuniti Cina dan blok pembangkang dominan.
Sabah sebagai mini referendum
PRN Sabah 2025 wajar dibaca sebagai referendum mini terhadap kepimpinan PMX dan prestasi kerajaan perpaduan.
Pengundi telah menghantar mesej yang keras dan jelas. Mereka telah menolak DAP sehingga “bungkus”, mengecilkan PH kepada hanya satu kerusi dan menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap PMX semakin kronik terhakis.
Pada masa yang sama, keputusan ini juga merupakan loceng amaran lantang kepada BN. Selagi BN kekal bersama kerajaan perpaduan, selagi itulah ia berkongsi beban kemarahan rakyat terhadap PH dan PMX.
Zaid telah menterjemahkan mood ini dalam bentuk surat terbuka dengan mesej yang amat tegas: terus menyokong PMX dan kerajaan perpaduan bermakna BN sedang menempah kekalahan teruk dalam PRU16.
Kini, pilihan berada di tangan BN dan pimpinannya di Putrajaya. Mereka boleh menghayati mesej ini dan merombak semula strategi atau menafikannya sehingga rakyat memberikan hukuman muktamad yang getir kepada mereka dalam PRU16 nanti.
*Mohd Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik tempatan
Sumber | Sinar Harian.

No comments
Post a Comment