SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, secara sinis menzahirkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut berseloroh mengenai masa kenyataan itu dikeluarkan, iaitu pada jam 10 malam Ahad, ketika kebanyakan orang sudah bersiap untuk tidur dan menyifatkannya sebagai pendedahan yang 'sebenarnya menjelaskan apa yang berlaku'.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana mengeluarkan kenyataan pada jam 10 malam hari Ahad. Jarang jabatan kerajaan keluarkan kenyataan waktu orang hendak tidur pada malam Ahad.
“Kenyataan bertajuk ‘SPRM nafi tuduhan tidak berasas berkaitan siasatan Pemilihan PKR 2025’ itu merujuk kepada perkongsian saya tentang bagaimana seorang calon pemilihan PKR disiasat SPRM di kemuncak pemilihan PKR serta perbualan saya dengan Perdana Menteri mengenai perkara itu.
“Kenyataan SPRM tersebut, walaupun menafikan dakwaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, secara tidak langsung mengesahkan beberapa perkara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Rafizi, dua perkara yang disahkan ialah: pertama, memang wujud siasatan terhadap seorang calon PKR yang didatangi pegawai SPRM ke rumahnya dan kedua, individu tersebut telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.
“Ini yang disahkan secara terang-terangan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat beberapa maklumat penting yang dielakkan dalam kenyataan SPRM termasuk tarikh kejadian yang menurutnya berlaku semasa kemuncak pemilihan PKR pada April dan Mei lalu.
Selain itu, katanya, SPRM juga tidak menyatakan jenis tuduhan yang disiasat iaitu berkaitan pembelian sebuah flat kos rendah yang dilelong pada harga murah dan perlu dibayar secara tunai.
“Sudah tentu SPRM tidak boleh menyatakan perkara-perkara ini kerana ia hanya akan mengesahkan apa yang saya sebut,” jelas Rafizi.
Menurutnya lagi, perbualan dengan Perdana Menteri juga boleh disahkan menerusi semakan bil telefon.
“Saya hanya perlu menunjukkan bil telefon saya bagi bulan itu untuk mengesahkan bahawa perbualan itu memang berlaku dan garis masa itu tepat dengan siasatan SPRM,” katanya.
Mengulas mengenai sebab isu tersebut hanya didedahkan sekarang, Rafizi menjelaskan bahawa beliau mengambil pendekatan menyalurkan teguran secara dalaman terlebih dahulu sebagai adab dalam sesebuah organisasi.
“Sama seperti pandangan mengenai SPRM dan tingkah laku Setiausaha Politik Perdana Menteri, mengenai Farhash, adabnya saya perlu suarakan terus kepada Perdana Menteri kerana kuasa itu ada padanya.
“Saya bersangka baik dan mahukan beliau membuat perubahan. Selalunya beliau nyatakan bahawa beliau akan teliti dan ambil tindakan,” katanya.
Namun, beliau akhirnya memilih untuk menyuarakan perkara itu secara terbuka setelah segala saluran dalaman digunakan sepenuhnya.
“Apabila semua ruang itu telah digunakan sepenuhnya dan saya rasa masih ada perkara yang perlu disuarakan, saya terus suarakan; lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi terikat dengan peraturan Jemaah Menteri dan kerajaan.
“Sama juga halnya dengan kes siasatan SPRM ke atas calon-calon PKR yang kebetulan berlaku semasa pemilihan parti,” katanya lagi.
Rafizi turut menyatakan bahawa sekiranya perkara itu didedahkan ketika beliau masih bertanding, ia berisiko diputar belit sebagai gimik politik.
Namun menurutnya, keadaan kini berubah selepas timbul beberapa kontroversi yang mempersoalkan kebebasan serta profesionalisme SPRM dalam beberapa kes baru-baru ini.
“Demi menjaga nama baik dan kredibiliti SPRM, jalan terbaik adalah dengan menukar kepimpinannya. Sebab itu, saya sebut perkara ini sekarang supaya Perdana Menteri fikir masak-masak dan tidak menyambung kontrak Tan Sri Azam Baki,” tegasnya.
Rafizi menegaskan bahawa SPRM wajar dipertahankan kerana jasanya membongkar skandal 1MDB, serta pengorbanan pegawai-pegawai jujur yang membawa Datuk Seri Najib Razak ke muka pengadilan.
“Kita perlu mempertahankan SPRM dari dalam dan luar, supaya tidak timbul persepsi yang mempersoalkan kebebasannya,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment