Menurut kenyataan media MINDEF hari ini, langkah pentadbiran tersebut diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan tanpa sebarang konflik kepentingan, selaras dengan prinsip tadbir urus baik dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sumber memaklumkan siasatan yang sedang dijalankan melibatkan dakwaan berkaitan urusan pentadbiran dan perolehan tertentu, yang kini berada di bawah penelitian pihak berkuasa berkaitan. Namun, setakat ini tiada sebarang pertuduhan rasmi diumumkan.
Dalam perkembangan sama, MINDEF mengumumkan pelantikan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berikutan persaraan wajib Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau.
MINDEF menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa atau rasuah, dan memberi jaminan bahawa integriti serta profesionalisme ATM akan terus dipelihara, tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu yang terlibat.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

No comments
Post a Comment