- Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata antara punca utama yang dikenal pasti ialah bayaran selain sektor kerajaan yang lumayan, sistem kenaikan pangkat dan latihan yang terhad, persekitaran tempat kerja swasta yang lebih kondusif turut menjadi faktor penarik dan pelbagai lagi.
- Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata faktor penolakan seperti termasuk gaji yang rendah berbanding sektor swasta, waktu bekerja yang panjang, kerenah birokrasi serta tugasan bukan klinikal yang membebankan.
- Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, berkata penghijrahan doktor tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut gaji.
Isu kekurangan dan penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta dan luar negara terus menjadi ancaman serius kepada kelestarian sistem kesihatan awam Malaysia.
Memetik laporan media tempatan, Hanya tiga daripada 73 doktor pakar warga Malaysia yang bekerja di luar negara kembali berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), berdasarkan rekod pada 2021 hingga 2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, baki 70 doktor pakar pulang ke Malaysia, namun memilih untuk berkhidmat di sektor swasta dan badan berkanun.
Ikuti temu ramah eksklusif The Merdeka Times bersama tiga barisan panelis Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia. serta Jurucakap kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) membincangkan isu ini.
Bayaran lebih lumayan berbanding di sektor kerajaan
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata antara punca utama yang dikenal pasti ialah bayaran selain sektor kerajaan yang lumayan, sistem kenaikan pangkat dan latihan yang terhad, persekitaran tempat kerja swasta yang lebih kondusif turut menjadi faktor penarik dan pelbagai lagi.
“Betul, kerajaan perlu melakukan reformasi radikal dalam dasar gaji dan insentif.
“Malah tidak dapat dinafikan, antara punca penarikan doktor berhijrah ialah sistem kenaikan pangkat, selain kemudahan kebajikan seperti cuti dan insurans yang dilihat lebih baik di sektor swasta.
Menurut beliau, ketika ini semakin ramai doktor pakar beralih arah kerana tawaran insentif dan peluang di tempat lain yang jauh lebih lumayan berbanding sektor kerajaan.
“Sekarang banyak doktor beralih arah kerana insentif dan pakar yang ditawar di tempat lain lebih lumayan.
“Kita perlu lakukan sesuatu bagi menarik doktor pakar kembali berkhidmat di sektor kerajaan jika tidak mahu sektor kesihatan awam ‘runtuh’,” katanya.
Sementara itu, menurut Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi keputusan doktor pakar meninggalkan sektor kerajaan.
Katanya, faktor penolakan seperti termasuk gaji yang rendah berbanding sektor swasta, waktu bekerja yang panjang, kerenah birokrasi serta tugasan bukan klinikal yang membebankan.
“Antara faktor utama yang menyebabkan doktor pakar enggan terus berkhidmat di sektor kerajaan termasuk gaji yang rendah berbanding sektor swasta, waktu bekerja yang panjang, kerenah birokrasi yang rumit serta tugasan bukan klinikal yang membebankan, sekali gus menjejaskan keseimbangan kerja dan kepuasan profesional mereka.”
“Malah selain daripada faktor gaji, perkara faktor penarik lain ialah penggunaan teknologi terkini di hospital swasta yang memudahkan prosedur dan meningkatkan kepuasan kerja,” katanya.
Isu Kepuasan Kerja dan Kekangan Struktur
Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, berkata penghijrahan doktor tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut gaji.
“Perkara ini disebabkan banyak faktor. Antaranya faktor keperluan peribadi seperti mahukan gaji lebih tinggi dan masa bekerja yang lebih fleksibel.
“Antara faktor lain pula adalah faktor pekerjaan yang bersifat kontrak dan beban pekerjaan itu sendiri,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan juga berdepan kekangan tersendiri dan tidak seharusnya meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu pemerintah.
“Kerajaan tidak boleh menghalang ‘brain drain’ kerana tawaran luar yang jauh lebih lumayan berbanding sektor kerajaan sendiri.
“Namun sektor kerajaan sendiri mempunyai kekangan termasuk jumlah perjawatan perkhidmatan awam, peluang melanjutkan pelajaran dan pembangunan kerjaya yang memungkinkan penyebab doktor-doktor pakar mahu berhijrah,” ujarnya.
Menurut beliau, kebanyakan individu atau doktor yang meninggalkan sektor awam bukan hanya disebabkan tarikan gaji semata-mata tetapi juga kepuasan bekerja.
Kesan Langsung Kepada Pesakit dan Sistem Kesihatan
Kegagalan kerajaan mengekalkan doktor pakar, menurut pakar-pakar kesihatan, boleh merosakkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam dalam jangka masa pendek dan panjang.
Menurut Dr Zainal, kegagalan kerajaan mengekalkan doktor pakar berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia serta memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek dan panjang sekiranya isu tersebut tidak ditangani segera.
“Kegagalan kerajaan untuk mengekalkan doktor pakar boleh merosakkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia.
“Ia juga sedikit sebanyak ada kesan jangka masa pendek dan panjang jika tidak diatasi seperti kehilangan tenaga pakar yang berkemahiran, kos bayaran upah tenaga pakar luar serta mampu merisikokan pembangunan negara,” jelasnya.
Pandangan ini turut disokong oleh jurucakap tersebut yang menyatakan kekurangan pakar akan menyebabkan beban kerja semakin berat kepada doktor yang masih berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Benar, semakin berkurang pakar di KKM, lebih banyak beban tugas mereka yang masih bekerja di KKM, lebih lama waktu menunggu untuk pesakit mendapatkan rawatan atau pembedahan,” katanya.
Cadangan Penyelesaian: Autonomi dan Kurangkan Beban Bukan Klinikal
Antara langkah yang dicadangkan untuk memastikan perkhidmatan doktor pakar di hospital kerajaan tidak terus merosot ialah menambah bilangan doktor pakar yang dilatih serta menambah baik insentif kewangan sedia ada.
Dr Zainal menegaskan bahawa sistem sedia ada terlalu terikat dengan struktur perkhidmatan awam negara.
“Sistem sekarang terikat dengan sistem perkhidmatan awam negara. Tak banyak yang boleh dilakukan.
“Pada pendapat saya adalah lebih baik jika membuat satu pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan yang autonomi,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak mencadangkan supaya tugasan pentadbiran dan bukan klinikal dikurangkan.
“Ya, sudah tentu kerajaan perlu melakukan reformasi radikal. Naikkan elaun dan gaji setimpal dengan skil pakar tersebut dan hampir menyamai, kalau bukan lebih daripada gaji di sektor swasta.
“Selain itu, tugas-tugas administratif dan non-klinikal perlu dikurangkan atau diambil alih oleh pihak lain supaya doktor boleh fokus dalam sektor perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan bagi menangani isu petugas kesihatan berhijrah ke luar negara, Dr Dzulkefly berkata, apa yang penting adalah untuk KKM terus memperbaiki skim kerjaya khususnya terkait isu upah dan gaji.
Beliau berkata, pasukannya ketika ini sedaya upaya mencari jalan bagaimana untuk mengekalkan kakitangan kesihatan antaranya dalam kalangan doktor pakar, pegawai perubatan (MO) dan jururawat. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment