KUALA SELANGOR – Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad sedia membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Projek Lebuhraya Maju Expressway 2 (MEX 2).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu sudah memberi maklum balas kepada SPRM mengenai perkara itu, baru-baru ini.
“Adam Adlan sebenarnya sudah diputuskan kedudukannya dan dia berjanji akan balik dalam tempoh terdekat.
“Kenyataannya hanya untuk membantu siasatan. Pada waktu itu, dia berada di luar negara, jadi kita perlukan bantuannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Azam menyampaikan ucaptama sempena forum SPRM-UiTM 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam.
Pada 8 September lalu, media melaporkan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Putrajaya atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek Lebuhraya MEX II.
Ia membabitkan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Adam Radlan, 44, antara individu yang sedang dikesan SPRM membantu siasatan berkenaan projek Lebuhraya MEX 2 dan dia dilaporkan beralamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya sudah menerima surat jaminan daripada Tetuan Shafee & Co di mana anak guamnya, Adam Radlan menyatakan komitmen untuk hadir bagi memberi keterangan.
“Saya tak ingat tarikhnya tetapi pegawai kami sudah berhubung dengan dia. Dia akan datang untuk memberi keterangan.
“Kategori beliau, bersama kira-kira 29 individu lain sebagai saksi dalam siasatan kes MEX2,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment