Menurut Hadi, kemenangan calon PAS Aliakbar Gulasan dengan majoriti kurang 400 undi itu menandakan permulaan penting kepada perkembangan pengaruh parti tersebut di Malaysia Timur.
“Karambunai menjadi benih pertama yang akan mengembangkan perjuangan Islam di tanah air... Ada yang menangis kerana terlalu gembira walaupun hanya satu kerusi,” tulisnya dalam siri Minda Presiden.
Beliau turut mengimbau sejarah bahawa PAS pernah jatuh, diharamkan, hilang pemimpin serta kalah semula dalam beberapa pilihan raya, namun tetap bangkit dengan kekuatan yang lebih besar.
“PAS tidak rebah dengan pengkhianatan atau kehilangan pemimpin. Kini PAS mencapai kejayaan lebih besar walaupun dianggap kecil oleh musuh,” katanya.
Fokus Aliakbar: Pusat Khidmat & Akses Rawatan Kesihatan
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai yang baharu, Aliakbar Gulasan berkata tumpuan awalnya kini adalah menubuhkan pusat khidmat DUN serta menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pedalaman yang jauh dari fasiliti sedia ada.
“Kita akan sediakan doktor untuk bertemu masyarakat, terutama mereka yang sukar keluar ke klinik atau hospital,” katanya kepada Malaysiakini.
Kerusi Karambunai menyaksikan pertembungan 11 calon, namun PAS berjaya mencatat sejarah dengan kemenangan pertama di Sabah, sekali gus memperkukuh kedudukan parti itu dalam blok Perikatan Nasional selepas prestasi PN yang merosot dalam PRN kali ini.

No comments
Post a Comment