KUALA LUMPUR: Pegawai Penyelidik (Hal Ehwal Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda, menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Majlis Belia FELDA (MBFM).
Ia bagi menjelaskan kronologi penuh isu yang sedang dibangkitkan melibatkan kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
“Saya bersedia untuk bersemuka dengan Majlis Belia Felda bagi kongsikan kronologi isu ini, sehingga tarikh mesyuarat terakhir kerajaan negeri bersama FELDA di Menara,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Mengulas lanjut, Naraza menegaskan beliau memilih untuk tidak menjawab sebarang dakwaan atau pertanyaan melalui media sosial kerana menghormati kedudukan FELDA sebagai pihak terlibat secara langsung dalam rundingan.
Beliau menjelaskan bahawa dirinya adalah antara individu yang diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk menganggotai Jawatankuasa Khas berhubung isu berkenaan.
“Saya juga terlibat mesyuarat terakhir di Menara FELDA ketika mana keputusan dipersetujui bersama tempoh 40 hari bekerja diberikan kepada FELDA agar menerima cadangan kerajaan negeri,” jelasnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan MBFM Wilayah Terengganu membantah tindakan kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan dan proses sitaan terhadap 10 ladang FGV Holdings Bhd.
Ia seluas 15,000 hektar, dengan alasan tanah itu diuruskan mengikut kuasa persekutuan dan perjanjian sedia ada.
Mereka menegaskan tindakan tersebut harus melalui rundingan dan proses undang-undang kerana boleh menjejaskan pendapatan pekerja serta komuniti FELDA, khususnya golongan belia.
MBFM menggesa kerajaan negeri kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan isu teknikal secara profesional tanpa menjadikan FELDA atau FGV sebagai mangsa.
Sumber | HARAKAHDAILY


No comments
Post a Comment