NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Bersatulah Melayu, Itu Sahaja Harapan Yang Tinggal” – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 13 Disember 2025 – Bekas Perdana Menteri, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyeru orang Melayu supaya kembali bersatu bagi mempertahankan kedudukan bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai bangsa teras negara, sambil memberi amaran bahawa perpecahan dan kelalaian boleh membawa kepada kehilangan kedaulatan tanah air.

Berucap ketika merasmikan Konvensyen Melayu 153 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma, pagi tadi, Tun Mahathir berkata sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Melayu pernah kehilangan wilayah dan kedaulatan akibat penjajahan serta kelemahan sendiri.

Menurut beliau, tanah air orang Melayu yang suatu ketika dahulu merangkumi wilayah luas dari Segenting Kra hingga Kepulauan Riau kini tinggal sebuah semenanjung yang kecil, hasil penjajahan dan perjanjian yang dipaksakan ke atas orang Melayu.

“Apa yang berlaku di Riau, Singapura, Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun perlu menjadi peringatan. Jika kita alpa, perkara yang sama boleh berlaku di tanah air yang masih kita miliki hari ini,” katanya.

Tun Mahathir menegaskan bahawa usaha menghakis identiti Melayu sebagai bangsa teras sedang berlaku secara berperingkat, khususnya melalui pendekatan politik dan pentadbiran yang mengangkat konsep negara berbilang kaum sebagai falsafah utama negara.

Beliau menekankan bahawa walaupun Malaysia secara demografi adalah negara berbilang kaum, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan orang Melayu dan Bumiputera sebagai bangsa teras melalui Perkara 153, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Melayu dan Malaysia bukan dua perkara berasingan. Malaysia wujud kerana orang Melayu, dan orang Melayu itu sendiri adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya, Tun Mahathir turut menyentuh isu kemiskinan dalam kalangan sebahagian orang Melayu yang menyebabkan penjualan tanah secara berterusan, yang menurut beliau akhirnya boleh melemahkan kedudukan Melayu di tanah air sendiri.

Dari sudut politik, beliau mengakui perpecahan parti-parti Melayu menjadi faktor utama kelemahan orang Melayu hari ini, berbanding kaum lain yang walaupun berbeza parti, tetap bersatu dalam mempertahankan kepentingan kaum masing-masing.

Tun Mahathir turut menyuarakan kebimbangan terhadap perjanjian Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, yang didakwanya boleh menggadai kedaulatan negara dan disifatkan sebagai “Malayan Union versi baharu”.

“ART ini tidak ada bezanya dengan Malayan Union. Ia membuka pintu kepada penjajahan semula dan menghakis kedaulatan negara, hak Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau mendakwa beberapa bekas pegawai kanan tentera turut berkongsi kebimbangan sama terhadap implikasi perjanjian tersebut ke atas kedaulatan negara.

Walaupun mengakui usianya telah melangkaui satu abad, Tun Mahathir menegaskan beliau tidak akan berdiam diri selagi hayat masih ada demi mempertahankan bangsa, agama dan negara.

“Saya tidak minta dihormati atau disanjung. Kejilah dan hinalah saya. Saya cuma minta orang Melayu bersatu demi masa depan bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

Ucapan tersebut diakhiri dengan peringatan khusus kepada generasi muda bahawa kesan pengkhianatan hari ini akan ditanggung oleh mereka pada masa hadapan.

Konvensyen Melayu 153 menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Melayu bagi membincangkan isu kedudukan Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan cabaran kedaulatan negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo