Kenderaan berwarna putih yang membawa individu berkenaan dilihat meninggalkan perkarangan ibu pejabat SPRM pada jam 6.55 petang. Difahamkan, proses rakaman keterangan tersebut tidak akan diteruskan pada esok hari.
Terdahulu, bekas menteri itu hadir ke ibu pejabat SPRM pada sekitar jam 10 pagi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Semalam, beliau dilaporkan berada di SPRM selama lebih tujuh jam bagi memberi keterangan berkaitan dakwaan penerimaan wang rasuah berjumlah kira-kira RM5 juta serta sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini.
Siasatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan projek pemasangan papan iklan serta urusan pemindahan tanah di sekitar ibu negara. Media sebelum ini melaporkan bahawa kereta mewah berkenaan didakwa diterima daripada sebuah syarikat pengendali papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengesahkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan media turut mendedahkan seorang bekas anggota Kabinet sebelum era pandemik COVID-19 berada dalam radar siasatan SPRM susulan dakwaan penyelewengan semasa tempoh perkhidmatannya di sebuah kementerian, termasuk pemindahan sebidang tanah kerajaan bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.

No comments
Post a Comment