Peguamnya, Zaid Malek, dalam kenyataan keras hari ini mendakwa pasukan SPRM memecah masuk rumah Tei, menggari beliau, serta menghalang peguam daripada bertemu anak guamnya — tindakan yang menurutnya bukan sahaja tidak profesional, tetapi melanggar undang-undang dan prinsip keadilan asas.
Zaid berkata pegawai-pegawai SPRM dan polis yang berada di lokasi enggan memperkenalkan diri, walaupun diminta berkali-kali.
“Tindakan ini angkuh dan melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau turut mendakwa pegawai cuba merampas telefon selepas beliau mengambil gambar kejadian, satu tindakan yang disifatkan sebagai “cubaan menutup salah laku”.
Gaya Komando, Balaclava, dan Gari
Dalam kejadian yang semakin menimbulkan tanda tanya, Zaid mendakwa anak guamnya dibawa keluar dalam keadaan bergari dan dikelilingi pegawai bersenjata bertopeng.
“Cara mereka bertindak seolah-olah menahan seorang pengganas,” katanya, menambah bahawa SPRM tidak memaklumkan ke mana Tei dibawa.
Whistleblower Ditahan, Individu Yang Dilaporkan Tidak Disentuh
Kritikan Zaid bertumpu kepada tindakan SPRM yang menurutnya kelihatan lebih berminat menangani pemberi maklumat berbanding individu yang didakwa dalam pendedahan Tei.
“Seorang whistleblower pula yang ditahan. Individu yang dilaporkan — bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar — langsung tidak disiasat,” katanya.
Zaid menegaskan bahawa hak perlembagaan anak guamnya — termasuk hak mendapatkan peguam — telah dinafikan secara terang-terangan.
Janji Integriti Kerajaan Madani Dipersoal
Serbuan ini, katanya, menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan Madani dalam memastikan penyiasatan yang bebas dan berkecuali.
“Inikah penyiasatan adil dan berkecuali yang dijanjikan Perdana Menteri?” soal Zaid.
SPRM setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas.

No comments
Post a Comment