NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Projek tebatan banjir sudah selesai, kenapa lokasi banjir makin meluas, rakyat masih redah air bah? – PUTRA



  • Pemangku Ketua Wira PUTRA, Dr Mohamad Izwan Zainal berkata meskipun lebih RM15 bilion telah diperuntukkan sejak 2022, selepas empat tahun pelaksanaannya, hampir tiada perubahan ketara dapat dirasakan rakyat.
  • “Rakyat layak bertanya ke mana hilangnya keberkesanan projek-projek ini, mengapa selepas peruntukan besar diumumkan, rakyat masih meredah air bah, mengangkat perabot rosak, dan memulakan hidup dari kosong setiap kali musim hujan tiba,” katanya
  • Menurutnya, Malaysia mempunyai pelbagai jabatan teknikal di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi pengurusan banjir masih berada pada tahap sama seperti dua dekad lalu.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan projek tebatan banjir di seluruh negara, selepas mendakwa masalah banjir bukan sahaja berulang di kawasan sama setiap tahun, malah semakin merebak ke lokasi baharu.

Pemangku Ketua Wira PUTRA, Dr Mohamad Izwan Zainal berkata meskipun lebih RM15 bilion telah diperuntukkan sejak 2022, selepas empat tahun pelaksanaannya, hampir tiada perubahan ketara dapat dirasakan rakyat.

“Tahun demi tahun, rakyat Malaysia terus dihukum oleh banjir sama, di tempat sama, dengan penderitaan sama malah, banjir semakin merebak ke lebih banyak kawasan termasuk lokasi yang sebelum ini tidak pernah terjejas, persoalannya di mana kepimpinan yang berani? Di mana pentadbiran yang bertanggungjawab?.

“Rakyat layak bertanya ke mana hilangnya keberkesanan projek-projek ini, mengapa selepas peruntukan besar diumumkan, rakyat masih meredah air bah, mengangkat perabot rosak, dan memulakan hidup dari kosong setiap kali musim hujan tiba,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Malaysia mempunyai pelbagai jabatan teknikal di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi pengurusan banjir masih berada pada tahap yang sama seperti dua dekad lalu, tiada pembaharuan, tiada keberanian membuat keputusan tegas, dan tiada kebertanggungjawaban.

“Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan, rakyat tidak mahu lagi melihat projek diumumkan tetapi tidak terlihat keberkesanannya.

“Apa yang rakyat lihat hari ini ialah budaya pentadbiran yang lebih sibuk meraikan perasmian projek berbanding memastikan projek tersebut benar-benar menyelamatkan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan Mekanisme Pampasan Setara, iaitu satu dasar yang mewajibkan mana-mana agensi atau pihak pelaksana membayar pampasan sekiranya projek mereka gagal berfungsi dan menyebabkan banjir yang merosakkan harta benda rakyat.

“Jika kerajaan benar-benar yakin projek tebatan banjir mereka berkesan, mereka seharusnya tidak takut kepada mekanisme ini.

“Tetapi jika kerajaan keberatan untuk melaksanakannya, maka rakyat berhak bertanya apa yang ingin disembunyikan? Siapa yang cuba dilindungi?,” katanya.

Menurut Mohamad Izwan, mekanisme tersebut akan menghentikan budaya “cukup sekadar siap”; memaksa agensi lebih berdisiplin, lebih telus dan lebih bertanggungjawab, melindungi rakyat yang selama ini menanggung kerugian serta menjadi isyarat bahawa pentadbiran negara tidak lagi bertolak ansur dengan kegagalan.

“Kita tidak boleh menjadi negara maju dengan mentaliti “asal siap”, kita tidak boleh menjadi negara maju jika rakyat terus menjadi mangsa dan kita tidak boleh membina masa depan yang lebih selamat selagi kerajaan hari ini masih gagal mengurus masalah paling asas, melindungi rakyat daripada banjir yang sama setiap tahun.

“Rakyat berhak kepada kerajaan yang serius, bukan kerajaan yang sekadar memberi alasan, rakyat berhak kepada perubahan dasar, bukan retorik.

“Jika banjir terus berulang, jika kerugian terus ditanggung rakyat, dan jika projek terus gagal maka jelaslah, Malaysia tidak memerlukan lebih banyak slogan; Malaysia memerlukan keberanian untuk berubah,” ujarnya. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo