NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sabah: Sanusi Perjelas Isu Cukai & ‘Drama Roti’ Yang Menjadi Modal Kempen

Di pentas PRN Sabah yang semakin panas, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi terpaksa melakukan kerja pemadaman api politik — kali ini berhubung dakwaan kenaikan cukai pintu sehingga 245 peratus di Alor Setar dan ‘kisah roti Gardenia’ yang menjadi bahan kempen di Sabah.

Sanusi menyifatkan naratif tersebut sebagai “putaran politik murahan” yang dibawa masuk ke Sabah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya “kehabisan modal”.

Menurutnya, isu cukai yang dipersembahkan seolah-olah seluruh Kedah mengalami kenaikan mendadak itu sebenarnya hanya melibatkan satu kilang perabot, selepas penilaian semula taksiran dibuat 33 tahun kemudian.

“Itu pun belum diputuskan. Baru cadangan MBAS. Tapi dibawa ke Sabah macam Kedah naik cukai seluruh negeri,” katanya dalam Jelajah #Karambunai.

Bagi Sanusi, tindakan itu bukan saja mengelirukan, malah merupakan cubaan memainkan sentimen Sabah menjelang PRN, seolah-olah pentadbiran PN Kedah menindas rakyat dengan cukai.

Isu “roti Gardenia” pula timbul apabila seorang Exco Kedah mencadangkan lebih baik memberi roti kepada rakyat berbanding membawa “berita palsu” untuk berpolitik. Kenyataan yang asalnya bersifat sinis itu melebar menjadi satu lagi modal serangan politik terhadap PN di Sabah.

Sanusi menegaskan, rakyat Sabah wajar menilai fakta, bukan drama politik import dari Semenanjung.

“Kalau tolak PN sebab isu roti, Sabah yang rugi. Bukan kami,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa ruang bantahan selama 42 hari sedang berjalan dan tiada sebarang keputusan kenaikan cukai dibuat kerajaan negeri.

Kenyataan itu hadir ketika persaingan PRN Sabah menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah, dengan setiap isu — besar atau kecil — kini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kempen masing-masing.

Dalam suasana politik Sabah yang sudah sememangnya terkenal rumit dan tidak dapat dijangka, “isu roti” nampaknya turut berjaya masuk ke senarai drama politik negeri itu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo