Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata parti itu memandang serius langkah kerajaan menandatangani perjanjian tersebut yang disifatkan sebagai bentuk “penjajahan ekonomi baharu” yang mengancam kedaulatan negara.
Beliau berkata, antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk memfailkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap keputusan kerajaan, mengadakan forum nasional melibatkan ahli akademik dan pakar ekonomi bagi membongkar implikasi sebenar ART, serta menggerakkan Himpunan Mega “Turun Anwar 2.0” sebagai suara rakyat menuntut pembatalan perjanjian itu.
“Kedaulatan negara bukan untuk dijual — walau dengan harga emas digital,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, bantahan terhadap ART bukan bersifat politik semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada kebimbangan tulen pelbagai lapisan masyarakat termasuk cendekiawan, ahli undang-undang dan penggiat industri yang menilai perjanjian itu berpotensi membuka ruang kepada penguasaan ekonomi asing dalam bidang strategik negara.
PAS turut menyeru rakyat agar tidak berdiam diri, sebaliknya kekal peka terhadap setiap bentuk perjanjian antarabangsa yang boleh menjejaskan dasar ekonomi, sosial dan keselamatan nasional.
“Ini masa untuk rakyat bersatu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada dijual atas nama perdagangan dan digitalisasi,” katanya.
Kerajaan setakat ini belum memberi maklum balas terhadap kenyataan PAS itu, namun ART terus menjadi topik hangat selepas beberapa pihak mendakwa perjanjian tersebut dimeterai tanpa penelitian awam yang mencukupi.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment