Dalam ucapan dasar yang sarat sindiran di perhimpunan agung MIC, Presidennya SA Vigneswaran berkata BN hari ini bukan lagi bayangan Perikatan yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan VT Sambanthan.
“Perikatan itu dibina atas persahabatan, bukan dominasi. Ia memberi kita kemerdekaan dan identiti sebagai Malaysia,” katanya.
Vigneswaran kemudian melemparkan soalan yang dianggap menguji keikhlasan Umno sebagai parti dominan dalam BN.
“Jika begitu, mengapa yang lain meninggalkan BN? Dan adakah BN hari ini masih mencerminkan Perikatan yang asal? Atau sudah tiba masanya kita keluar BN untuk kembali kepada semangat Perikatan?”
Kenyataan itu sekaligus menghidupkan kembali spekulasi bahawa MIC mungkin meninggalkan BN — sesuatu yang hubungan dingin antara parti-parti dalam gabungan itu tidak berjaya redakan.
‘Jangan Kurung Suara MIC’
Hubungan tegang antara Umno dengan parti komponennya semakin jelas apabila Vigneswaran menegaskan bahawa kesetiaan MIC selama lebih enam dekad “bukan lesen untuk dibuli”.
Menurutnya, MIC telah dikinggirkan sejak kekalahan BN pada 2008 dan 2018, hingga suara masyarakat India — yang diwakili parti itu — hilang dalam rundingan kerusi, jawatan atau lantikan dalam kerajaan.
“Hari ini, MIC tiada menteri, tiada wakil GLC, tiada pelantikan signifikan. Ini bukan pengabaian, ini pengkhianatan halus,” katanya sambil menuding kepada tindakan Umno yang membuat keputusan strategik tanpa rundingan.
Beliau turut menyindir keputusan Umno mengadakan PRU15 lebih awal sebagai bukti MIC dianggap sekadar “penyumbang undi”, bukan rakan strategik.
“Kami bukan boneka politik. Cukup sudah. MIC tidak akan membenarkan kesetiaan kami diperalatkan lagi.”
Tanda-Tanda Retak BN Semakin Jelas
Sumber-sumber BN sebelum ini memberitahu parti-parti gabungan kerajaan bimbang sekiranya MIC mengumumkan keluar BN dalam tempoh terdekat, khususnya menjelang PRN Sabah pada 29 November.
MIC bagaimanapun masih menangguhkan keputusan muktamad atas permintaan pimpinan BN, namun nada ucapan presidennya hari ini memperlihatkan kesabaran parti itu hampir sampai ke penghujung.
Bagi pemerhati politik, ucapan Vigneswaran ini bukan sekadar peringatan — tetapi amaran awal bahawa BN mungkin semakin hampir kepada episod perpecahan seterusnya.

No comments
Post a Comment