Kita boleh berlembut dan berbincang dalam perkara yang tidak menyentuh dasar agama, seperti urusan muamalat dan kehidupan sosial, tetapi apabila menyentuh soal ketuhanan dan kebenaran agama, Islam menetapkan sempadan yang tegas.
Bagi mereka agama mereka, dan bagi kita agama kita. Itulah batas yang memisahkan kebenaran daripada kepalsuan, garis merah yang tidak boleh dilanggar oleh seorang mukmin. Dalam perkara prinsip, tidak ada tolak ansur walau atas nama keamanan, perpaduan atau toleransi.
Masalahnya, hari ini sempadan itu semakin kabur. Ada yang rela mengorbankan prinsip akidah demi menjaga hati manusia. Mereka tidak berani menyatakan kebenaran apabila melihat kesesatan, kerana takut dianggap ekstrem. Sedangkan Allah telah menjelaskan bahawa yang benar hanyalah Islam. Allah mengajak manusia berfikir dan membawa bukti jika benar dakwaan mereka, tetapi tiada siapa yang mampu menandingi hujah kebenaran Islam.
Agama lain tidak ditolak kewujudannya, tetapi Islam tidak boleh disamakan dengan yang lain. Kita menghormati kepercayaan orang lain, tetapi tidak boleh mengiktiraf persamaan akidah. Prinsip Islam ialah ia sentiasa berada di atas, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Ketika umat Islam menakluki Baitul Maqdis, mengembalikan semula tanah suci itu kepada warisan kenabian, Sayyidina Umar al-Khattab datang dari Madinah bersama khadamnya hanya menaiki seekor unta. Mereka bergilir menunggang, sehingga tiba di kota itu.
Apabila tiba waktu solat dan ketua paderi, Patriarch Sophronius menjemputnya bersolat di dalam gereja besar Church of the Holy Sepulchre, Umar menolak dengan lembut. Katanya, “Aku tidak mahu solat di dalam gereja ini kerana aku bimbang nanti orang Islam akan datang selepas aku lalu menuntut gereja ini sebagai milik Islam hanya kerana aku pernah bersolat di dalamnya.” Begitulah bijaksananya Umar. Beliau menghormati penganut agama lain, tetapi tetap menjaga sempadan akidah Islam.
Islam tidak pernah menindas agama lain. Islam mengajar supaya kita menghormati kepercayaan mereka, tetapi tetap yakin bahawa kebenaran mutlak hanya pada Islam. Bukan kerana taksub, tetapi kerana itulah yang diajarkan oleh wahyu. Damai itu penting, tetapi damai tidak boleh dibina atas dasar menyamakan semua agama.
Begitu juga ketika sekelompok paderi datang berhujah dengan Rasulullah SAW tentang ketuhanan, mereka akhirnya tidak mampu menjawab hujah baginda. Nabi lalu mencabar mereka dengan sumpah laknat, menyerahkan keputusan kepada Allah agar menurunkan laknat ke atas pihak yang berdusta. Mereka terdiam, lalu berundur dengan hormat, kerana dalam hati mereka tahu baginda adalah Nabi yang benar sebagaimana yang disebut dalam kitab mereka.
Demikianlah tegasnya Islam dalam mempertahankan akidah. Persoalan kebenaran yang tidak boleh ditawar. Bahkan hingga hari ini, sebahagian penganut agama lain masih bergelut mempertahankan fahaman mereka yang tidak berasaskan hujah, yang mereka sendiri sukar menghuraikan. Mereka tahu kebenaran itu milik Islam, tetapi tidak semua berani mengakuinya.
Maka umat Islam mesti faham batas ini. Kita boleh bekerjasama dalam hal kemanusiaan dan kehidupan, tetapi tidak boleh berkompromi dalam soal keimanan. Islam mengajar supaya berakhlak lembut dalam berdakwah, tetapi tetap teguh dalam pegangan. Inilah keseimbangan yang menjadikan Islam agama yang lengkap, penuh kasih dalam pendekatan, tetapi tegas dalam prinsip. Islam mesti kekal di atas dalam segala urusan yang melibatkan kebenaran dan keyakinan.
Sunber | FB Dato Nik Amar

No comments
Post a Comment