KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk membawa pembangunan lebih agresif ke dalam lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, iaitu Sebatik, Kukusan, Tanjung Batu, Apas dan Balung, selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat negeri itu.
Menurut Pengerusi BN itu, pembangunan yang dibawa parti tersebut bukan sekadar tertumpu kepada projek fizikal, tetapi melibatkan pembaharuan menyeluruh merangkumi peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran anak muda, keperluan infrastruktur asas serta pembukaan ruang ekonomi baharu.
“Sabah tidak boleh terus berada di belakang dalam arus kemajuan. Rakyat negeri ini berhak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri lain yang lebih maju,” katanya.
Zahid menegaskan bahawa prestasi setiap ADUN BN di Sabah akan dipantau sekiranya mereka diberikan mandat oleh rakyat, bagi memastikan khidmat kepada masyarakat kekal konsisten dan berkualiti.
“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana kawasan tertinggal daripada arus pembangunan nasional,” ujarnya.
Mengulas mengenai pembangunan jangka panjang, Ahmad Zahid memaklumkan cadangan menjadikan Tawau sebagai pusat TVET baharu di Sabah adalah antara strategi utama BN dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya, pusat TVET tersebut akan menawarkan latihan dalam bidang industri yang mempunyai permintaan tinggi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya untuk golongan muda di Sabah.
Beliau turut menekankan bahawa kadar pengangguran Sabah yang mencecah 20 peratus perlu ditangani segera melalui perluasan institusi TVET, pemodenan latihan kemahiran serta pembukaan laluan kerjaya baharu.
Turut hadir ialah ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, yang menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Ahmad Zahid dalam memperkukuh agenda pembangunan TVET di Sabah.
“Ucapan Datuk Seri Zahid tentang pembangunan TVET di Tawau adalah satu langkah besar yang akan menjadi tumpuan utama orang muda Sabah. Peluang meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran akan lebih luas, sekali gus membuka pekerjaan yang lebih stabil,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, TVET kini merupakan keperluan utama negara dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“TVET bukan lagi pilihan sampingan. Ia laluan masa depan untuk membina tenaga kerja Sabah yang lebih kompetitif, menarik pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Sabah mempunyai potensi, dan kita akan pastikan potensi ini dimaksimumkan sepenuhnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment