KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin membalas sinis kritikan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN N.58 Lamag, Johainizamshah Johari yang menuduhnya tidak membawa pembangunan.
Bung Moktar yang merupakan penyandang DUN Lamag berkata, calon muda GRS itu dilihat terlalu obses dengan pembangunan khayalan yang belum tentu menjadi kenyataan.
“Pembangunan baru apa? Kan ini baru saja plan (perancangan). Kalau plan macam itu, ada beribu-ribu ada di kerajaan negeri.
“Pembangunan tidak boleh hanya bersandarkan kepada perancangan atau janji ‘pecah tanah’ yang tidak pernah menjadi kenyataan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program SKOP MG.
Bung Moktar turut mengimbas janji kerajaan negeri terdahulu (GRS) yang melakukan program pecah tanah tetapi ia masih tidak dibangunkan.
“Masa setahun GRS, saya masih ingat Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Md Noor) ketika itu di SICC (Sabah International Convention Centre) telah melancarkan satu MoU (perjanjian persefahaman) dan pecah tanah untuk pembangunan di Papar iaitu mahu membina resort bersama Pavilion.
“Sudah lima tahun, tidak juga jadi.
“Itu bukan satu (pecah tanah), tapi beratus-ratus pecah tanah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Johainizamshah terlalu berkhayal dan seolah-olah menafikan pembangunan yang telah dibawa BN di Kinabatangan.
“Calon GRS itu terlalu obses, terlalu mendalam jiwanya dalam pembangunan khayalan hingga cakap tidak ada mana-mana wakil rakyat membawa pembangunan di Kinabatangan.
“Ya ampun… dia memang berkhayal dengan gambaran-gambaran yang tidak baik,” katanya.
Bagaimanapun, Bung Moktar tidak menyalahkan calon GRS itu sepenuhnya dengan menyifatkan dakwaan tersebut datang daripada seseorang yang tidak berpengalaman.
“Dia orang muda, orang baru dan tidak berpengalaman dalam politik. Biarkan dia dengan khayalan Mat Jenin dia,” katanya.
Bung Moktar berkata, masyarakat Lamag lebih arif menilai hasil kerja dan rekod perkhidmatan sebenar.
Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bagi kerusi Lamag menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan Bung Moktar dicabar calon GRS Johainizamshah; Salahuddin @ Salehuddin Anoi (PIS); Mohd Saifullah Lokman (Warisan); Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali (PN).
Seramai 13,859 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan Lamag. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment