NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AGC Tutup Fail Siasatan Campur Tangan Anwar, Reformasi Undang-undang Terus Dipersoal

5 November 2025

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan siasatan berhubung laporan Bloomberg yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditutup dengan arahan “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, keputusan itu dibuat selepas AGC mendapati bukti dalam kertas siasatan “tidak mencukupi”.

“Namun, sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa hadapan, siasatan lanjut boleh dijalankan semula,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Laporan Bloomberg pada September lalu mendakwa siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kononnya dimulakan atas arahan Anwar. Ia turut mendakwa Perdana Menteri mengarahkan SPRM supaya tidak menyiasat seorang bekas pegawainya berhubung pembelian saham berkaitan projek sistem imigresen bernilai berbilion ringgit.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa Anwar “tidak pernah memberi sebarang arahan atau campur tangan dalam siasatan SPRM”.

SPRM turut menegaskan bahawa suruhanjaya itu “tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri”.

Namun, keputusan AGC untuk menutup siasatan itu kembali menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan Madani benar-benar komited terhadap agenda reformasi institusi yang sering dijadikan slogan politik.

Pemerhati undang-undang dan kumpulan reformasi sebelum ini berulang kali menekankan bahawa siasatan yang melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan harus dijalankan dengan telus bagi mengelakkan persepsi “double standard” dalam sistem keadilan.

Azalina dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited terhadap kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang laporan media berkaitan boleh dirujuk kepada Majlis Media Malaysia (MMC) yang mula beroperasi Jun lalu.

Namun begitu, bagi banyak pihak, keputusan NFA terhadap laporan yang menyentuh nama Perdana Menteri dilihat hanya menambahkan keraguan terhadap sejauh mana janji reformasi yang dilaungkan masih mempunyai makna sebenar — atau sekadar menjadi alat retorik politik semata-mata.

- 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo