Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), rakaman CCTV menunjukkan enjin kiri pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 itu tercabut sejurus selepas berlepas sebelum menjunam dan meletup di kawasan perindustrian berhampiran lapangan terbang.
Anggota penyelamat menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan untuk membantu siasatan lanjut mengenai punca kemalangan.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear, berkata angka korban meningkat daripada sembilan kepada sebelas orang, manakala beberapa lagi dilaporkan masih hilang.
“Saya ingin mengiktiraf usaha luar biasa anggota bomba yang berdepan letupan besar akibat 38,000 gelen bahan api penerbangan — mereka berjaya mengawal kebakaran itu sebelum ia merebak ke kawasan lebih luas,” katanya pada sidang media.
Pesawat itu — Penerbangan UPS 2976 — dijadual menuju ke Honolulu, Hawaii. Pihak berkuasa berkata beberapa bangunan berhampiran, termasuk sebuah pusat kitar semula minyak dan bengkel kenderaan, musnah akibat letupan dan kebakaran besar yang berlaku selepas nahas.
Seorang saksi, Sean Garber, pemilik syarikat yang terjejas, berkata lebih 20 orang berada di premisnya ketika pesawat itu terhempas.
“Kami lihat bebola api besar dan letupan berulang kali. Panasnya mencairkan pintu, menyebabkan beberapa pekerja terpaksa melompat keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada NBC News.
Sekurang-kurangnya 15 mangsa dibawa ke hospital berdekatan dengan kecederaan akibat letupan, serpihan logam dan kebakaran, dua daripadanya dilaporkan kritikal.
Gabenor Kentucky telah mengisytiharkan darurat negeri bagi mempercepatkan gerakan bantuan dan penyelarasan bersama Pengawal Kebangsaan Kentucky.
UPS dalam kenyataannya menyatakan rasa sedih mendalam atas kejadian itu dan memberi jaminan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Keselamatan kakitangan dan komuniti adalah keutamaan kami. Hati kami bersama keluarga semua mangsa,” menurut kenyataan rasmi syarikat berkenaan.
Louisville merupakan hab operasi utama UPS global, dengan lebih 25,000 kakitangan dan 400 penerbangan sehari.
Sumber | NBC News

No comments
Post a Comment