KUALA LUMPUR – Kecenderungan MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) akan memberi kesan besar kepada gabungan parti itu meskipun MIC ketika ini hanya mempunyai satu kerusi Parlimen.
Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, seandainya tiada parti mewakili komuniti India dalam BN, ia sekali gus memberi kesan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Apatah lagi, jelasnya, boleh dikatakan semua kerusi yang dimenangi UMNO ketika ini terdapat pengundi India yang turut memberi sokongan.
Ujarnya, meskipun jumlah pengundi India di sesebuah kawasan di mana UMNO bertanding itu hanya kecil, tetapi ia boleh menjadi penentu kemenangan terutama apabila undi Melayu berpecah terlalu melebar.
“Apakah UMNO akan menggunakan khidmat pemimpin India daripada PKR dan DAP untuk membantunya?
“Namun, bagaimana jika BN pada PRU16 nanti bertanding solo?
“Tanpa parti India dan tanpa parti mewakili komuniti India dalam BN – percayalah – jangankan mahu menambah bilangan kemenangan, mengekalkan 26 kerusi Parlimen sedia ada pun pasti berdepan kesukaran buat UMNO,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Shahbudin turut mengambil contoh di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang ditanding Pengerusi BN sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada PRU-15, ujarnya, terdapat 22 peratus pengundi India di kawasan itu yang mana Ahmad Zahid hanya menang dengan majoriti 348 undi.
“Jika tiada lagi parti mewakili komuniti India dalam BN, siapa pada PRU16 nanti yang akan mendekati pengundi India bagi pihak UMNO?
“Tidakkah kerusi Presiden UMNO sendiri boleh terancam?” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, Shahbudin turut menilai MIC kini seolah-olah telah memberi isyarat yang semakin jelas berkenaan hala tuju dan masa depannya bersama BN.
Ujarnya, tindakan parti itu tidak menjemput pemimpin komponen BN termasuk Ahmad Zahid ke Perhimpunan Agung tahunannya bulan depan dilihat sebagai isyarat awal yang tidak diragukan lagi tentang keinginan mahu keluar daripada gabungan itu.
Kebiasaannya, kata beliau, Perhimpunan Agung parti komponen BN termasuk MIC akan dirasmikan oleh Pengerusi BN.
“Tetapi, disebabkan tahun ini tiada jemputan untuk Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN, tidak dipastikan siapa perasminya kali ini.
“Mungkinkah Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN akan dijemput merasmikannya?
“Atau mungkinkah perasminya ialah Hamzah Zainuddin atas kapasitinya selaku Ketua Pembangkang?
“Atau mungkinkah MIC membuat tindakan luar biasa dengan menjemput Hadi Awang selaku presiden parti yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam negara ini dan komponen utama PN untuk melakukan perasmian?” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment