BEIRUT, 31 Okt (Bernama) — Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengarahkan angkatan tenteranya bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan baharu selepas serangan udara Israel di selatan negara itu semalam yang mencetuskan ketegangan terbaharu di sempadan.
Menurut kenyataan pejabat Presiden, arahan itu dikeluarkan selepas Aoun mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera, Jeneral Rodolphe Haykal, bagi membincangkan perkembangan keselamatan terkini di selatan Lubnan.
“Serangan ini adalah sebahagian daripada siri pelanggaran yang dilakukan Israel. Mekanisme pemantauan sepatutnya bukan sekadar merekod fakta, tetapi perlu menekan Israel supaya menghormati perjanjian dan kedaulatan Lubnan,” katanya.
Media tempatan melaporkan pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara berat di kawasan pergunungan Aaichiyeh, Jarmaq dan Khardale, menyebabkan seorang kakitangan majlis perbandaran terbunuh di bandar sempadan Blida.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas serangan awal di kampung Al-Labouneh berhampiran Naqoura, kira-kira 200 meter dari kedudukan tentera Lubnan.
Menurut saksi, tentera Israel turut menceroboh kawasan sekitar Blida kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan dan melepaskan tembakan ke arah bangunan majlis perbandaran, mengakibatkan kematian seorang pekerja, Ibrahim Salameh.
“Pasukan kami mendapati unit tentera musuh telah menceroboh masuk, melepaskan tembakan ke arah bangunan perbandaran dan menembak mati seorang pekerja,” menurut kenyataan Komando Tentera Lubnan.
Lubnan turut menggesa mekanisme pemantauan gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan segera terhadap pelanggaran berterusan oleh Israel.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee, mengesahkan operasi di Blida dengan mendakwa serangan itu menyasarkan infrastruktur Hezbollah dan menembak seorang “suspek” selepas mengenal pasti ancaman segera.
Beliau turut menuduh Hezbollah mempergunakan kemudahan awam sebagai perlindungan bagi melancarkan serangan terhadap Israel.
Dalam serangan berasingan awal pagi semalam, tentera Israel turut mengebom sebuah dewan upacara keagamaan di kampung sempadan Adaisseh, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Sejak hampir setahun lalu, Israel didakwa berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan angka korban mencecah 390 orang, termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak. — AGENSI
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment