PUTRAJAYA | 31 Okt 2025 – Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan wartawan mempunyai hak penuh untuk bertanya apa sahaja soalan kepada menteri, susulan kontroversi melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Katanya, kebebasan media tidak harus disekat, namun para menteri perlu menunjukkan sikap terbuka dan profesional ketika berdepan pertanyaan wartawan.
“Wartawan menjalankan tugas mereka. Apa jua soalan boleh ditanya. Tapi jawapan mesti berhemah dan berlandaskan prinsip keterbukaan serta saling menghormati,” katanya selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Isu itu tercetus selepas video tular menunjukkan Kor Ming didakwa mengugut seorang wartawan akhbar tempatan yang bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam sidang media sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 anjuran DBKL.
Menurut Fahmi, Kor Ming telah memberi penjelasan sebelum mesyuarat Kabinet, dan keputusan untuk meminta maaf atau menjelaskan semula kenyataannya diserahkan kepada beliau.
“Saya percaya masih ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak Utusan Malaysia bagi menjernihkan keadaan,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menghadkan interaksi antara wartawan dan pegawai kerajaan.
“Perdana Menteri sendiri terbuka menerima soalan. Pendirian kerajaan tetap sama – wartawan berhak bertanya apa jua soalan,” tambahnya.
Beliau berkata, insiden itu wajar dijadikan pengajaran bagi memperkukuh hubungan profesional antara kerajaan dan media.
“Kita perlu belajar daripada apa yang berlaku. Semangat keterbukaan mesti dikekalkan,” katanya.
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment