DUNGUN, 27 Okt – Angin perubahan mula bertiup dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila Bahagian Dungun secara rasmi mengusulkan agar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin “berehat” daripada jawatan, disertai desakan menukar Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Langkah ini mencetuskan kejutan dalam kalangan pemerhati politik — menandakan wujudnya gelombang dalaman akar umbi yang semakin berani mencabar status quo kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Aziz Ismail, ketika ditemui mengesahkan usul tersebut diluluskan dalam mesyuarat rasmi bahagian pada 20 Oktober lalu, dengan sokongan penuh Srikandi dan Armada.
“Ini bukan usul tergesa-gesa, bukan juga pemberontakan.
Tapi satu mesej jelas daripada akar umbi — kami mahu pembetulan dalam parti sebelum terlalu lewat,” katanya.
Usul tiga serampang
Antara usul yang diluluskan:
- Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta berehat sementara;
- Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diganti;
- Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz diganti.
Menurut Aziz, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor kesihatan Muhyiddin, bebanan kes mahkamah, dan ketegangan hubungan Bersatu–Pas yang semakin meruncing, terutama di Terengganu.
“Kita tak mahu wujud kekecohan calon perdana menteri atau ‘poster boy’ dari Bersatu.
Di Terengganu, tanpa Pas, mustahil kita menang walau satu kerusi,” ujarnya tegas.
Krisis keyakinan dan hala tuju
Aziz menegaskan, langkah itu bukan berniat melemahkan parti, tetapi usaha menyelamatkan maruah Bersatu yang kini, katanya, semakin lari daripada prinsip asal — parti bersih dan bebas skandal.
“Dulu kita perjuangkan Bersatu kerana ia bersih daripada kes mahkamah. Tapi kini, kita juga terpalit.
Jadi, mesti ada keberanian untuk membetulkan hala tuju.”
Difahamkan, usul ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) terdekat.
Aziz juga mendedahkan bahawa beliau kini dalam Jelajah “Selamatkan Maruah Ahli & Kepimpinan (SEMARAK)” bersama pemimpin-pemimpin akar umbi lain bagi memberi penjelasan terus kepada ahli.
Bayangan retak dalam PN menjelang PRN Sabah
Penganalisis politik melihat perkembangan ini sebagai isyarat awal retakan dalaman Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Hubungan Bersatu–Pas yang selama ini digambarkan utuh, kini jelas berada di persimpangan kepentingan politik negeri.
“Apa yang berlaku di Dungun adalah simptom kepada krisis lebih besar — tekanan akar umbi yang semakin hilang sabar dengan gaya elit Kuala Lumpur,” kata penganalisis bebas Prof Dr Mohamad Rahim Hashim.
Tambah beliau, ketika Pas terus mengukuhkan pengaruhnya di Pantai Timur, Bersatu kini bergelut antara menjaga ego kepimpinan dan menyelamatkan reputasi parti.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment