| Isa Azmi Zulkifli dan Kamal Aarif Kamaruddin sejurus selepas ditahan polis di luar Kedutaan AS di Kuala Lumpur. |
Polis hari ini menahan dua peserta tunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, tindakan yang dilihat bakal menyemarakkan kemarahan orang ramai terhadap langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meraikan Presiden Donald Trump akhir bulan ini.
Kamal Aarif Kamaruddin dan Isa Azmi Zulkifli ditangkap ketika bersama kumpulan yang membantah serangan Israel ke atas Flotilla Sumud Global, yang menyaksikan kira-kira 200 orang termasuk rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Zionis.
Peguam Zaid Malek berkata, polis bakal memohon perintah reman ke atas mereka untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas.
Terdahulu, pergelutan berlaku apabila polis cuba menangkap penunjuk perasaan yang berkumpul di hadapan kedutaan AS, lokasi yang kerap menjadi tumpuan demonstrasi pro-Palestin.
Ia berlaku menjelang perhimpunan yang dirancang di lokasi sama esok bagi membantah kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak Asean pada 26 Oktober.
Anwar telah menolak pelbagai gesaan untuk membatalkan jemputan itu, di sebalik kemarahan yang semakin meningkat terhadap sokongan terbuka Washington terhadap Israel di samping pelan damai terbarunya untuk Gaza.
Pelan 20 perkara yang diumumkan Trump selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu mendapat sokongan negara Arab yang bersekutu dengan AS, tetapi ditolak secara meluas oleh rakyat Palestin yang menyifatkannya satu bentuk penjajahan baharu dan usaha menyerah diri kepada Israel.
Kerajaan Anwar bagaimanapun menyambut baik pelan tersebut.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil mencetuskan kemarahan umat Islam dan penyokong pro-Palestin selepas cuba mempertahankan langkah Anwar meraikan Trump.
Fauwaz menuduh mereka yang menentang kehadiran Trump dipengaruhi "emosi atau sentimen radikal", sambil menambah umat Islam seharusnya mengalu-alukan Trump atas prinsip Islam memelihara keamanan.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment