KUALA LUMPUR, 3 Sept 2025 – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menegaskan pendirian mereka untuk menolak Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar 2025, walaupun terdapat laporan media bahawa pihak pembangkang berkemungkinan menyokong RUU tersebut selepas diperhalusi.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar A Samad, berkata RUU berkenaan tidak selari dengan saranan yang pernah dikemukakan NGO itu dalam perbincangan meja bulat di Ampang pada 29 Jun tahun lalu, dan gagal meredakan kebimbangan pelbagai pihak termasuk NGO serta pemilik hartanah.
“RUU ini tidak mungkin ditambah baik tanpa rombakan besar-besaran. Kami tetap menolak kerana ia bercanggah dengan hak rakyat serta memberi kuasa terlalu besar kepada kerajaan dan pemaju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan REACH termasuklah:
- Ambang persetujuan (consent) yang tidak selari dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Hakmilik Strata 1985.
- Ketiadaan rundingan awal bersama pemilik sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan pembaharuan semula.
- Proses bantahan pemilik yang tidak jelas, selain tiada ruang menolak pelantikan pemaju.
- Kuasa terlalu besar Menteri KPKT, termasuk dalam menentukan kaedah pelaksanaan.
- Ketiadaan kuota Rumah Mampu Milik dan kuota perumahan Bumiputera.
- Kaedah penentuan pulangan pemilik yang tidak jelas serta tidak melibatkan mereka sebagai “rakan kongsi”.
- Penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membolehkan pengusiran paksa.
REACH menegaskan, walaupun NGO tidak menolak usaha meningkatkan kualiti perumahan rakyat, RUU ini hanya membuka ruang kepada penyelewengan, pengabaian hak pemilik, serta pelaksanaan pembangunan secara paksaan.
Sehubungan itu, Iskandar menggesa semua Ahli Parlimen yang prihatin terhadap hak rakyat untuk menolak RUU berkenaan apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment