NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bila kau sudah hilang harga diri kerana kezaliman


Khabarnya, ada pemimpin kerajaan yang gila berpolitik sehinggakan dalam mana-mana majlis samada rasmi kerajaan atau tidak, dia akan sebut hal berkaitan politik dan menyerang lawannya dan tanpa rasa malu, meratib-ratib kebaikan diri sendiri. Umpama lembu angkat ekor sendiri. 

Kenapa dia bersikap begitu? Jelas, ini kerana jika dia mahu mengumpulkan orang secara sukarela mendengar pidato politiknya, orang sudah tidak mahu hadir kerana dia sentiasa menipu sehinggakan dalam Parlimen juga menipu, walaupun terbukti salah, tapi tidak mahu memohon maaf.

Yang kelakarnya, dia pula menuduh orang lain menipu dan memfitnah dirinya. Dia menggunakan jentera dari jabatan kerajaan untuk menasihati masyarakat agar tidak kongsi berita palsu jika tidak pasti. Kan pelik tu? 

Hal ini mengingatkan aku dengan satu kisah di zaman Kerajaan Umayyah iaitu dizaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang dibenci rakyat ketika itu. Kisah ini ada dinukilkan dalam Fathul Baari, syarah hadis sahih Imam Bukhari oleh Ibnu Hajar al-Asqolani. 

Abdul Malik yang berperang dan membunuh lawannya yang diangkat menjadi khalifah di Mekah, Abdullah bin Zubair, seorang sahabat dan pakar rujuk Islam, melalui panglima perangnya yang dikenali seorang yang zalim, Hajjaj bin Yusof al-Tsaqafi.

Setelah dibunuh, digantung jenazah Ibnu Zubair selama tiga hari di Kota Mekah, sehinggalah ibunya Asma' binti Abu Bakar dengan beraninya menyuruh Hajjaj menurunkan mayat anaknya. Selain itu juga, serangan oleh Hajjaj menggunakan manjanik telah memusnahkan Kaabah.

Dalam era pemerintahan mereka, khutbah Bani Umayyah, akan ada satu slot bagi mengutuk Saidina Ali menggambarkan kebencian mereka kepada Ali.

Oleh itu, rakyat berusaha menghindari khutbah-khutbah Kerajaan Bani Umayyah dengan cara, apabila tiba hari Jumaat, jemaah akan datang lewat sedikit bagi mengelakkan duduk mendengar kutukan kepada Ali dalam khutbah.

Dan apabila tiba pada solat hari raya, makmum akan datang awal dan akan pulang awal, sebaik sahaja selesai solat bagi mengelakkan mendengar khutbah raya selepas solat.

Abdul Malik pada suatu hari raya, secara tiba-tiba telah bangun awal untuk berkhutbah sebelum solat Eid, walaupun dihalang oleh sahabat rasulullah yang senior, Abu Said al-Khudri dengan katanya, kamu menyalahi sunnah. Abdul Malik tetap naik berkhutbah kerana melihat peluang dia berkhutbah di hadapan orang ramai sebagai kepuasan walaupun berlawanan dengan sunnah.

Begitulah jika jiwa sudah tidak keruan, hati gundah gulana, perasaan berkecamuk, serba benda yang dibuat tidak menjadi, semua orang semakin menjauhi, akan ada kalangan manusia yang rela melanggar hukum demi kerana kuasa.

Jauhi penipuan kerana ia akan membuatkan anda mencari lagi penipuan yang lain untuk anda mempertahankan penipuan pertama anda. Dan bayangkan jika anda menang dengan menipu rakyat, untuk mengekalkan kedudukan, pasti anda akan melakukan penipuan yang lebih besar lagi. Nauzubillah

Mohd Nasir Abdullah
5 September 2025


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo