BANGI, 29 RABIULAWAL – Fenomena nama perbandaran dan taman perumahan berimej Inggeris, Bandar Ainsdale di Negeri Sembilan, Southville City di Selangor, Forest City di Johor, Gamuda Cove di Lembah Klang, bukan lagi terpencil.
Ia sudah menjadi arus perdana dalam pemasaran hartanah. Naratif pemaju mudah, iaitu bunyi Inggeris dianggap premium, moden, antarabangsa.
Dari segi penjenamaan mungkin kelihatan menarik, tetapi membingungkan dari segi bahasa, mengaburkan identiti tempat, menyusahkan alamat dan paling utama, perlahan-lahan menolak Bahasa Kebangsaan terpinggir ke tepi.
Prinsip asas bahasa di Malaysia cukup jelas: urusan rasmi negara menggunakan Bahasa Kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan rangka penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan dan dokumentasi, semangat yang sepatutnya meresap dalam setiap rakyat, termasuk di papan tanda, alamat, serta penamaan bangunan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menerbitkan garis panduan khusus menamakan syarikat, bangunan, kawasan perumahan, tempat awam dan jalan raya yang bertujuan memastikan nama dalam bahasa Melayu, tepat, bermakna dan mempunyai identiti tempatan.
Banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut mewajibkan rujukan bahasa. Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mensyaratkan perakuan bertulis DBP bagi setiap nama bangunan dan pembangunan yang dicadangkan. Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula menerbitkan garis panduan terperinci untuk penamaan taman, jalan dan bangunan. Ini bukan sesuka hati pemaju, tetapi ada prosedur dan piawaian.
Pada masa sama, standard kebangsaan untuk nama geografi turut wujud melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), iaitu garis panduan penentuan nama geografi bagi memastikan keseragaman dan kefungsian dalam peta, alamat serta pangkalan data. Ringkasnya, dasar dan sistem sudah ada, namun yang longgar ialah pelaksanaan yang konsisten dan penguatkuasaan.
Ekonomi pemasaran dan kepentingan awam
Nama tempat ialah DNA sesebuah masyarakat. Ia menandakan sejarah, bahasa dan kuasa. Menukar atau menenggelamkan nama tempatan dengan label imej kolonial membawa kesan simbolik, iaitu bahasa Melayu dipinggirkan dari ruang perbandaran.
DBP sendiri melalui khidmat nasihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), menegaskan bahawa penamaan tempat perlu dalam bahasa Melayu yang betul serta bermakna, bukan Premier, Heights, City, Cove dan seumpamanya sebagai nama rasmi.
Bagi sesetengah pemaju, hujah yang digunakan ialah pasaran mahu bunyi Inggeris. Itu pengakuan jujur, tetapi ia memperkukuh imaginasi kelas bahawa untuk mewah perlu bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu melambangkan sesuatu yang biasa.
Dalam jangka panjang, ini menghakis keyakinan masyarakat terhadap martabat bahasa Melayu sebagai bahasa untuk semua peringkat.
Benar, nama Inggeris mungkin menaikkan nilai tanggapan terhadap projek di mata segmen tertentu. Namun kos luaran ditanggung orang ramai dan alamat menjadi kacau (perhatikan Jalan Southville 2, Southville City, 43800 Dengkil), kekeliruan peta dan logistik, risiko salah lokasi untuk perkhidmatan kecemasan, serta beban terjemahan pada papan tanda.
Kebanyakan PBT akhirnya perlu membetulkan papan tanda dan pangkalan data alamat, kerja tambahan yang berpunca akibat penamaan yang mengabaikan piawaian. DBKL menerbitkan panduan khusus penamaan, malah beberapa dokumen perancangan bandar meletakkan Garis Panduan Penamaan sebagai rujukan wajib. Ini bukan karenah birokrasi; ini hal kefungsian bandar.
Politik dasar bahasa
Kerajaan pernah menyuarakan hasrat memperkukuh kuasa DBP supaya penguatkuasaan bahasa Melayu di ruang awam lebih tuntas, termasuk isu nama jalan, papan tanda dan taman perumahan.
DBP sejak beberapa tahun lalu memperluaskan kerjasama dengan PBT untuk semakan dan pengesahan bahasa Melayu bagi penamaan. Masalahnya, tanpa taring perundangan dan keseragaman membabitkan semua PBT, pematuhan sering bergantung pada budi bicara setempat. Hasilnya, kecelaruan di lapangan.
Bandar Ainsdale dan Southville City dipasarkan sebagai perbandaran moden berimej antarabangsa; Forest City pula membawa naratif hijau dan global. Begitu juga Gamuda Cove. Dari kaca mata penjenamaan, semua ini masuk akal.
Namun dari kaca mata negara bangsa yang mendaulatkan bahasa Melayu, ini bermakna menormalisasi bahasa asing sebagai bahasa dominan di kawasan perbandaran. Lebih merisaukan, apabila naratif global berubah angin. Lihat Forest City, wajah mewah tetapi tidak berakar pada sejarah dan bahasa tempatan.
Jalan keluar sama menang
Pertama, bezakan nama rasmi dan nama dagang. Nama rasmi seperti alamat, peta, papan tanda PBT wajib dalam bahasa Melayu yang baik dan bermakna. Nama dagang boleh dwibahasa pada bahan promosi, namun paparan di ruang awam mematuhi hierarki bahasa Melayu yang perlu lebih jelas dan besar. Banyak bandar besar dunia mengekalkan nama tempatan sebagai rasmi, sementara jenama komersial hanya hidup di kertas brosur.
Kedua, jadikan perakuan DBP keperluan wajib di semua PBT, iaitu dirujuk kepada garis panduan DBP dan standard penamaan geografi JUPEM.
Ini mengelakkan nama cantik tetapi kosong makna, mengelakkan pengulangan dan menjaga ejaan. Ketiga, wujudkan insentif atau keutamaan pemprosesan untuk projek yang mematuhi penamaan bahasa Melayu, memperkenalkan audit papan tanda dan pangkalan data alamat dengan jadual peralihan munasabah untuk kawasan sedia ada.
Akhir sekali, masukkan identiti tempat dalam penilaian perancangan, seiring Rancangan Tempatan (RT) dan manual perancangan semasa supaya nama bukan lagi hanya untuk pemasaran, tetapi sebahagian identiti tempat yang menghormati sejarah, ekologi dan komuniti.
Jika kita serius mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, penamaan tempat bukan kosmetik. Ia melambangkan kuasa. Hari ini, terlalu banyak perumahan bernama indah dalam kertas brosur bahasa Inggeris, tetapi kosong makna.
Negara memerlukan garis pemisah yang tegas. Bahasa Melayu untuk kegunaan rasmi dan dwibahasa terpimpin untuk jenama komersial. Jika pemaju benar-benar global, mereka sepatutnya matang memahami bahawa menjadi global tidak bermakna membuang wajah tempatan.
Bahkan itu yang membezakan mereka dari perbandaran tanpa jiwa. Bagi PBT dan kerajaan, sudah sampai masa berhenti memberi alasan. Kuat kuasakan apa yang sudah tertulis.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment