KUALA LUMPUR – Pas mempunyai potensi untuk memimpin negara pada masa hadapan, namun ia bukan dalam masa terdekat.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan berkata, ini kerana rakyat khususnya pengundi bukan Melayu masih belum bersedia menerima parti itu sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Dalam sebutan bahasa Inggeris, surely but not immediately. Suatu hari nanti Pas akan memerintah negara, tetapi PRU16 bukan masa yang sesuai.
“MIPP sedia membantu merapatkan jurang dengan pendekatan ikhlas dan kepimpinan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Punithan, sokongan bukan Melayu terutamanya pengundi India bakal menjadi faktor penentu kemenangan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Putrajaya serta beberapa negeri utama seperti Pahang, Perak, Melaka dan Selangor.
Mengenai cadangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mahu calon Perdana Menteri berusia bawah 70 tahun, beliau berkata, faktor umur tidak seharusnya dijadikan ukuran.
“Muka baru atau bawah 70 tidak semestinya jadi pilihan semua. Ada kalanya pemimpin berusia lebih 70 lebih mudah diterima rakyat. Yang penting ialah kemampuan, kewibawaan, pengalaman serta keikhlasan seseorang calon untuk menyatupadukan rakyat,” ujarnya.
Beliau memberi contoh rakyat Malaysia pernah memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada usia 93 tahun, yang mana ia membuktikan penerimaan rakyat bergantung kepada keyakinan terhadap kemampuan pemimpin, bukan usia.
Tambah Punithan, PN mempunyai ramai calon berwibawa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan serta MIPP.
Katanya apa yang perlu dilakukan ialah perbezaan pandangan dalam sesuatu isu wajar diraikan.
“Kita bukannya bergaduh soal calon Perdana Menteri sebaliknya kita mahu tunjukkan kepada rakyat bahawa PN mempunyai pilihan pemimpin yang pelbagai, kredibel dan layak untuk diangkat ke jawatan tertinggi negara.
“Keputusan terbaik akan ditentukan secara konsensus melalui Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi PN,” ujarnya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment